Saya tak pernah tawar diri sertai Kabinet: Anwar

Anwar dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di bangunan Parlimen hari ini. -Foto Sinar Harian
Anwar dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di bangunan Parlimen hari ini. -Foto Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah menawarkan diri untuk menyertai Kabinet yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ini.

Sebaliknya, kata Anwar, beliau akan menunggu sehingga gilirannya tiba untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

“Saya tidak pernah mengusulkan atau bercadang sertai Kabinet. Saya terikat dengan konsensus PH iaitu saya akan memberikan ruang sepenuhnya kepada Tun Mahathir untuk mengetuai Kabinet ketika ini.

“Maka, tidak timbul isu sama ada saya mahu menjadi sebahagian daripada Kabinet,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam bahawa tiada jawatan kosong dalam Kabinet untuk diisi oleh Anwar setakat ini.

Hal ini kerana, menurut Dr Mahathir, tiada ahli Kabinet yang mahu melepaskan jawatan masing-masing untuk diberikan kepada Anwar.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya sama ada akan mempelawa Anwar untuk menyertai barisan Kabinet memandangkan gandingan mereka berdua dikatakan serasi dan baik untuk negara.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Tiada jawatan kosong untuk Anwar'

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Anwar bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin bahawa hanya takdir akan menentukan beliau menjadi Perdana Menteri atau tidak.

“Betul, hidup mati semua itu takdir,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir berkata, tiada jawatan kosong dalam Kabinet untuk diisi oleh Anwar setakat ini.

Beliau berkata, ini kerana tiada ahli Kabinet yang mahu melepaskan jawatan masing-masing untuk diberikan kepada Anwar.