PSP akhiri kisah pelajar terpaksa ikat perut di sekolah

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Para ibu bapa hari ini menyambut baik Program Sarapan Percuma (PSP) kepada semua murid dan menyifatkan program itu sebagai penamat kisah pelajar yang terpaksa ikat perut ketika sesi persekolah kerana tiada wang untuk membeli makanan di kantin.

Malahan ada yang mengimbau kenangan terpaksa mengikuti pembelajaran dengan perut kosong dan hanya dapat memerhatikan rakan lain membeli makanan di kantin ketika waktu rehat kerana kemiskinan keluarga dan percaya perkara itu masih berlaku sekarang.

Seorang penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad,43, mengimbau bagaimana beliau serta tujuh adik beradiknya hanya diberikan wang saku 20 sen oleh ayahnya untuk ke sekolah pada tahun 80an.

"Adik beradik saya ramai, abah saya yang hanya pekerja am bagi duit belanja hanya 20 sen sehari sebagai duit belanja sekolah, cukup-cukup untuk beli dua biji karipap, saya makan satu sebelum masuk ke bilik darjah dan satu lagi disimpan untuk makan pada waktu rehat sebelah tengah hari.

"Sebab tidak cukup duit untuk beli air maka saya minum air paip bagi hilangkan rasa dahaga," katanya ketika berkongsi kisah zaman persekolahannya itu kepada Bernama.

Katanya pengumuman Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan Program Sarapan Percuma (PSP) kepada semua murid sebelum sesi persekolahan bermula pada tahun depan (2020) adalah satu usaha murni kerana bukan semua ibu bapa berkemampuan.

Ahmad berkata memuji usaha murni kerajaan itu kerana ramai tidak tahu bahawa masih terdapat pelajar yang mengikat perut pada waktu rehat kerana keluarga tidak mampu membekalkan duit belanja sekolah.

"Walaupun taraf ekonomi dan kehidupan rakyat negara ini telah meningkat, berdasarkan cerita anak saya, di sekolah masih terdapat sebilangan kecil rakannya yang tidak ke kantin apabila waktu rehat kerana mereka tiada duit belanja," kata bapa kepada dua orang anak yang bersekolah di sebuah sekolah di Bukit Katil.

Artikel Berkaitan:

Turut memuji langkah kerajaan itu, Shaharim Sulong, 42 yang berkata inisiatif yang diambil oleh kerajaan itu bukan hanya membantu dan meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan tapi turut sama meringankan beban ibu bapa yang berkerja.

“Dengan adanya PSP nanti ibu bapa tidak perlu lagi risau dengan kebersihan dan nutrisi makanan yang diambil oleh anak mereka kerana desakan tugas menyebabkan ibu bapa hari ini tidak sempat menyediakan sarapan pagi untuk anak-anak mereka,”katanya yang berkerja sebagai pegawai eksekutif teknologi maklumat di sebuah agensi kerajaan di Ayer Keroh.

Katanya kesibukan berkerja menyebabkan ibu bapa hari ini tidak sempat memantau apakah yang anak mereka makan ketika waktu persekolahan dan ketika pulang dari sekolah.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata beliau hanya membekalkan duit belanja kepada anaknya bagi membeli sendiri sarapan pagi dan makan tengah hari pada hari persekolahan memandangkan isterinya juga berkerja.

Beliau berkata usaha pihak kementerian pendidikan menerapkan nilai displin dan sivik dalam program tersebut adalah merupakan satu langkah yang baik dalam membentuk nilai peribadi unggul generasi muda akan datang.

Menteri Pendidikan, Dr Maszley Malik sebelum ini dilaporkan berkata PSP bukan hanya memberi pelajar makanan berkhasiat sebaliknya mendidik anak-anak mengenai sivik dan disiplin apabila mereka perlu membasuh tangan, mengemas selepas makanan dan makan bersama guru.- Bernama