Doa Permaisuri Agong untuk Malaysia

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Foto: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Foto: Bernama
A
A
A

MAGELANG - Menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2019, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan harapan agar Malaysia terus menikmati keamanan dan kesejahteraan.

Selain itu, baginda memanjatkan doa supaya Malaysia sentiasa mendapat rahmat.

“Dari Borobudur, Jawa Tengah saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-62.

“Semoga negara kita sentiasa aman sentosa, diberkati ALLAH SWT,” titah baginda.

Tunku Azizah mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam lawatan negara empat hari ke Indonesia yang berakhir hari ini.

Lawatan itu antara lain menyaksikan Seri Paduka berdua berangkat mengunjungi tapak monumen bersejarah Candi Borobudur di sini semalam, lokasi di mana Tunku Azizah menzahirkan secara ringkas harapan baginda buat Malaysia yang akan menyambut Hari Kebangsaan ke-62 pada Sabtu ini.

Lawatan negara bermula Isnin itu merupakan lawatan negara kedua Sultan Abdullah selepas Brunei, sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Ketika menzahirkan ucapan itu, Tunku Azizah diiringi anakanda baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Artikel Berkaitan:

Sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih' akan diadakan di Dataran Putrajaya, Sabtu ini. - Bernama