Bayar zakat menerusi potongan gaji

Saipolyazan Mat Yusop menunjukkan aplikasi FPX E-Majikan kepada media.
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan mekanisme pembayaran zakat mudah dan pantas khusus untuk majikan yang menyertai Skim Potongan Gaji melalui kemudahan FPX E-Majikan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan Mat Yusop berkata melalui FPX E-Majikan ini, majikan terdiri daripada syarikat swasta dan badan berkanun di negeri ini boleh membuat pembayaran zakat bulanan bagi kakitangan syarikat.

"Sistem ini merupakan kemudahan atas talian yang membolehkan majikan membuat taksiran zakat dan penghantaran data potongan gaji untuk kakitangan selain melihat rekod bayaran lepas, mencetak slip bayaran zakat dan mengemaskini maklumat syarikat.

"Majikan tersebut boleh menggunakan sistem ini dengan mendaftar di portal rasmi yang disediakan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Mesra Majikan Lembaga Zakat Selangor 2019 di sini hari ini.

Katanya bermula pada 2019, LZS melakukan penambahbaikan ke atas sistem E-Majikan berkenaan dengan menambah fungsi FPX.

Saipolyazan Mat Yusop (berdiri, dua kiri) ketika merasmikan Majlis Mesra Majikan Lembaga Zakat Selangor 2019 di sini hari ini.
Saipolyazan Mat Yusop (berdiri, dua kiri) ketika merasmikan Majlis Mesra Majikan Lembaga Zakat Selangor 2019 di sini hari ini.

"Ia membolehkan majikan terus membuat bayaran dengan memilih bank pembayaran bagi pemotongan zakat serta memasukkan data pencarum melalui sistem yang disediakan.

"Sehingga kini terdapat 4,200 majikan yang menyertai SPG di LZS dan daripada jumlah tersebut hanya 2,100 majikan yang berdaftar di sistem E-Majikan, namun begitu hanya 1,300 syarikat sahaja yang konsisten menggunakan sistem E-Majikan bagi urusan potongan zakat bulanan kakitangan syarikat," katanya.

Menurutnya, dengan pelancaran FPX-E-Majikan ini, LZS mensasarkan seramai 1,500 majikan akan menggunakan sistem ini seterusnya melakukan pembayaran zakat melalui kemudahan yang diperkenalkan ini.

Dalam pada itu, majlis yang diadakan ini meraikan seramai 350 majikan yang mewakili pelbagai syarikat swasta, badan berkanun dan sektor kerajaan.