LZNK bukan agensi tunggal terima zakat PTPTN

Syeikh Zakaria
Syeikh Zakaria
A
A
A
ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK)menafikan dakwaan menjadi agensi tunggal yang menerima zakat daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, PTPTN telah menunaikan zakat perniagaan sejak 2016 di beberapa buah negeri termasuk Melaka, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sarawak dan Kedah.

Katanya, pihak PTPTN menunaikan zakat perniagaan bagi aktiviti perniagaan yang dijalankan dan bukannya daripada wang pinjaman pelajar.

"Tambahan pula, zakat ini ditunaikan selepas mendapat pandangan daripada pihak Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) dan Lembaga Zakat Negeri Selangor (LZS) sejak tahun 2016 lagi.

"Oleh itu adalah tidak benar dakwaan hanya LZNK satu-satunya agensi zakat yang menerima zakat daripada pihak PTPTN dan kononnya wang tersebut akan disalurkan kepada parti politik tertentu," katanya menerusi status yang dimuatnaik di laman facebooknya, hari ini.

Menurutnya, mengikut Enakmen Lembaga Zakat Negeri Kedah 2015, adalah menjadi tanggungjawab LZNK untuk menerima zakat daripada mana-mana pihak sama ada individu atau syarikat korporat dan memastikan wang kutipan zakat diagihkan dengan penuh amanah kepada lapan golongan asnaf zakat.

"Untuk makluman, LZNK juga merupakan satu-satunya agensi pengurusan zakat di Malaysia yang bernaung terus di bawah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

"Ia berbeza dengan agensi pengurusan zakat yang lain yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).Malah di Kedah juga, pengurusan zakat adalah berasingan dengan MAIN dan tidak dipengaruhi oleh ahli politik daripada mana-mana parti yang memerintah negeri ini sejak dulu,"katanya.

Syeikh Zakaria berkata, tanpa campur tangan politik, LZNK terus bergerak ke hadapan melakukan transformasi bagi tujuan memastikan golongan asnaf, fakir dan miskin di negeri ini terus terbela.
Artikel Berkaitan:


"Sehingga Disember tahun ini, lebih daripada 17,000 penerima bantuan bulanan daripada LZNK dengan jumlah bantuan lebih daripada 4 juta sebulan dan melebihi 50 juta setahun.

"LZNK juga merupakan satu-satunya agensi zakat di Malaysia telah mempelopori Food Bank di semua masjid di seluruh negeri bagi tujuan membantu golongan fakir dan miskin yang terputus bekalan makanan," katanya.

Beliau berkata, penubuhan Food Bank pada tahun ini dimulakan di Daerah Sik dan Baling.

"Sasaran kita, menjelang Mac tahun hadapan semua masjid di Kedah merupakan Food Bank, di mana pihak LZNK membekalkan barangan keperluan asas makanan kepada golongan fakir dan miskin melibatkan lebih 17,250 orang penerima sebulan di 575 buah masjid di Kedah.

"Food Bank ini akan diuruskan oleh pihak masjid dan diagihkan kepada golongan yang layak selepas waktu solat menggunakan kupon yang dibekalkan.

"Golongan asnaf hanya perlu datang ke masjid bagi tujuan memohon bantuan dan segala urusan akan diuruskan oleh penolong amil yang dilantik.

"Pertimbangan kelulusan permohonan pula adalah berdasarkan kepada sistem haddul kifayah yang dilaksanakan oleh pihak LZNK," katanya.