Taiping tersenarai 100 Destinasi Lestari Terbaik 2018

Bandar warisan Taiping selepas tersenarai sebagai antara 100 Destinasi Lestari Terbaik 2018 - Foto Internet
Bandar warisan Taiping selepas tersenarai sebagai antara 100 Destinasi Lestari Terbaik 2018 - Foto Internet
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri berbangga dengan pengiktirafan antarabangsa kepada bandar warisan Taiping selepas tersenarai sebagai antara 100 Destinasi Lestari Terbaik 2018 yang dianjurkan oleh gabungan 13 organisasi dari seluruh dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berpendapat pengiktirafan kepada daerah itu kerana memiliki keunikan tersendiri dan kekayaan budaya serta kelestarian alam semulajadi antaranya Bukit Larut, Spritzer Eco Park dan Taman Tasik Taiping.

“Kerajaan negeri berasa bangga atas pencapaian tersebut selepas sebelum ini mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti lonelyplanet.com, UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu), Booking.com dan sebagainya untuk negeri Perak,” katanya .

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa bersama dengan pihak Majlis Perbandaran Taiping dalam meningkatkan industri pelancongan daerah itu.

“Kita sudah ada beberapa perancangan untuk Taiping antaranya projek pembangunan di Bukit Larut.

“Selain itu, projek taman botani berhampiran Taman Tasik Titiwangsa juga sudah siap fasa pertama selain menyediakan infrastruktur asas lebih baik di Kampung Dew yang dikenali dengan habitat kelip-kelip,” katanya.

Tan berkata kerajaan negeri berterima kasih dengan usaha MPT, agensi berkaitan dan seluruh komuniti Taiping dalam mengangkat nama negeri Perak sekali gus.

Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik 2018 merupakan anjuran bersama antaranya Green Destinations Foundation dari Belanda, ITB Berlin (Jerman), Asian Ecotourism Network (Thailand); Ecotourism Australia (Australia), The Long Run (United Kingdom) dan Linking Tourism & Conservation (LT&C) dari Norway.

Artikel Berkaitan:

Peserta akan diraikan dan menerima sijil di ITB Earth Award di ITB Berlin pada 6 Mac depan. Bernama