Azmin gesa Anwar teliti lantikan Rafizi

Azmin, Rafizi
Azmin, Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan pelantikan jawatan utama kepimpinan parti antaranya melibatkan lawannya dalam Pemilihan PKR, Rafizi Ramli yang diumumkan adalah sesuatu yang melanggar prinsip keadilan.

Beliau berkata, pelantikan yang menyusul selepas pemilihan parti yang sengit perlu mengambil kira pandangan akar umbi dalam semangat musyawarah dan saling hormat-menghormati demi mengembalikan perjuangan parti ke landasan yang sebenar.

Sehubungan itu beliau menggesa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneliti semula pelantikan jawatan utama kepimpinan parti.

"Pelantikan yang telah diumumkan tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’ terhadap aspirasi anggota dan tidak akan membantu parti untuk maju ke hadapan.

"Beberapa individu yang dinamakan juga terlibat secara langsung dalam proses pemilihan yang tidak telus dan menyebabkan punca perpecahan dalam parti," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Semalam, tiga individu dilantik sebagai Naib Presiden biarpun tewas dalam jawatan yang dipertandingkan semalam Pemilihan PKR lalu.

Tiga individu itu adalah Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju.

Pengumuman itu dibuat oleh Anwar dalam satu kenyataan media hari ini sekaligus menjawab segala persoalan sebelum ini tentang status bekas Rafizi dalam parti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu enam individu dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, jawatan Setiausaha Agung adalah jawatan penting yang harus dipikul oleh seseorang yang profesional dan wibawa dalam memahami tugas pengurusan dan pentadbiran.

Katanya, Setiausaha Agung perlu melaksanakan tugas selaras dengan keputusan parti yang dibuat secara konsensus dan bukan mengambil pendirian secara berasingan.

Menurutnya, begitu juga pelantikan MPP yang seharusnya dibuat berdasarkan merit dan bukan sebagai imbuhan atau sogokan politik untuk meraih sokongan undi dalam MPP.

"Justeru, saya akan sekali lagi merujuk perkara ini kepada Presiden yang telah sedia maklum dengan pendirian saya dan majoriti MPP yang dipilih.

"Pendirian ini telah dimaklumkan kepada Presiden beberapa minggu lalu dan saya menggesa Presiden memberi perhatian serius demi menjamin masa depan parti yang kukuh dan inklusif," katanya.