Perlis tarik diri dapatkan Akhyar

Ahmad Amizal (dua, kanan) ketika berkunjung ke rumah Akhyar bersama rombongan PFA untuk melamar pemain tersebut baru-baru ini.- Foto PFA
Ahmad Amizal (dua, kanan) ketika berkunjung ke rumah Akhyar bersama rombongan PFA untuk melamar pemain tersebut baru-baru ini.- Foto PFA
A
A
A

FAKTOR kewangan menjadi punca kepada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) menarik diri dalam usaha cuba mendapatkan penyerang muda negara, Akhyar Rashid yang kini sedang berusaha keluar dari kem Hijau Kuning.

Presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata, berdasarkan perkembangan semasa, persatuan tersebut perlu memberikan keutamaan kepada kawalan kewangan bagi menstabilkan pasukan terlebih dahulu.

Menurutnya, PFA secara terbuka membatalkan hasrat untuk mendapatkan penyerang berusia 19 tahun itu bagi memperkukuhkan Singa Utara bagi musim 2019 bagi menghadapi saingan Liga Perdana.

"Memang kita berminat cuma dari segi kekangan kewangan mungkin membataskan kita usaha untuk mendapatkannya. Kita sedia maklum dengan gaji beliau selain pampasan yang perlu dibayar kepada KFA. Apapun kita faham dan perlu ukur baju di badan sendiri.

"Untuk memiliki pemain sehebat beliau adalah idaman setiap pasukan. PFA mengucapkan semoga Akhyar berjaya dan dapat memilih pasukan terbaik demi karier masa depannya," katanya.

Sementara itu, mengulas keputusan Perlis seri 1-1 dengan Pulau Pinang pada aksi persahabatan di Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar semalam, beliau mengakui tidak berpuashati dengan prestasi pemain import yang sedang diuji.

Menurutnya, Singa Utara akan terus menguji beberapa lagi pemain import bagi mendapatkan pemain yang mampu membantu pasukan tersebut pada musim hadapan.

"Secara peribadi saya tidak berpuas hati dengan perlawanan ini namun saya percaya pemain sudah cuba yang terbaik. Kami tidak nafi pasukan ini masih baharu lagi dalam pramusim dan mereka baru sahaja bersama beberapa minggu.

Artikel Berkaitan:

"Persefahaman penting dalam pasukan. Tidak adil untuk kita terus menghukum sebaliknya bagi jurulatih, Manzoor Azwira masa untuk memperkemaskan lagi corak permainan pasukan," katanya.

Bagi aksi persahabatan seterusnya Perlis akan berdepan pasukan Liga Super PKNS di Kuala Lumpur pada 5 Januari depan.