Isu Gojek: CSSP perlu diberi kepada teksi motosikal

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (kanan) beramah mesra dengan warga Tenaga Nasional Berhab (TNB) pada program Sokongan Keselamatan Perjalanan di Wisma TNB hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (kanan) beramah mesra dengan warga Tenaga Nasional Berhab (TNB) pada program Sokongan Keselamatan Perjalanan di Wisma TNB hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pengangkutan bercadang untuk mengadakan Program Sokongan Keselamatan Perjalanan (CSSP) terhadap teksi motosikal dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya sudah melihat perkara itu dari aspek keselamatan selepas Kabinet membuat keputusan meluluskan perkhidmatan teksi motosikal atau Gojek.

Katanya, walaupun ada pihak yang menyatakan kebimbangan tetapi beliau melihat dari sudut bahawa itu adalah satu peluang untuk membuat kerangka keselamatan yang dapat mengubah cara mereka menunggang motosikal.

“Kerangka keselamatan ini bukan sahaja untuk teksi motosikal tetapi juga penghantar makanan, penghantar dokumen dan lain-lain yang membabitkan motosikal.

"Apabila kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan teksi motosikal, sudah tentu kita akan ambil peluang untuk merangka peraturan baru untuk mengawal penunggang motosikal yang selama ini tidak pernah ada, walaupun perkhidmatan seperti penghantar pizza bermotosikal sudah ada sejak 20 tahun yang lalu.

“Kita benarkan (luluskan teksi motosikal) bukan bermaksud kita benarkan mereka membawa motosikal tanpa apa-apa peraturan, kita mahu mengambil pendekatan seperti yang dibuat perkhidmatan e-hailing sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas CSSP di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak.

Artikel Berkaitan:

Tambah Siew Fook, penunggang teksi motosikal sangat berisiko dalam kerja yang dilakukan, jadi mereka memerlukan latihan serta pendedahan yang boleh dibantu melalui CSSP yang mula diperkenalkan sejak 2017.

Sementara itu, Dr Siti Zaharah berkata, program itu terbukti berkesan mengurangkan kadar kemalangan membabitkan penunggang motosikal apabila peratusan kemalangan menurun sebanyak 70 peratus terhadap syarikat yang mengikuti program itu.

Ketika dimulakan pada 2017, hanya 20 majikan sekitar Lembah Klang yang menyertai program itu, namun ia meningkat kepada 95 majikan pada tahun lalu, manakala sasaran jumlah majikan menyertai program itu pada tahun ini adalah sebanyak 70 syarikat.

CSSP adalah program kerjasama antara Perkeso dan MIROS bagi meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran isu keselamatan jalan raya terutama keselamatan golongan pekerja yang menunggang motosikal pergi dan balik kerja.