Hutan terbakar punca IPU Rompin tidak sihat

Anggaran keluasan 0.809 hektar.
Anggaran keluasan 0.809 hektar.
A
A
A

KUANTAN - Kebakaran belukar tanah gambut berdekatan kampung orang asli di Sembayan dipercayai punca Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah Rompin berada pada skala tidak sihat.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, lokasi kebakaran berkeluasan 0.809 hektar itu terletak kira kira 400 meter dari stesen pengawasan udara Rompin.

Menurutnya, berdasarkan data Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Rompin mula mencatat bacaan tidak sihat pada jam 2 pagi semalam.

Pandangan lokasi tempat kebakaran hutan berdekatan Kampung Orang Asli Sembayan.
Pandangan lokasi tempat kebakaran hutan berdekatan Kampung Orang Asli Sembayan.

"Faktor angin dan cuaca panas menyebabkan kebakaran cepat merebak. Bagaimanapun bomba di daerah itu dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang berusaha menanganinya daripada terus merebak.

"Memang berlaku jerebu tetapi tidak menjejaskan kawasan penduduk," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Sharkar berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat parit bagi menghalang api merebak ke hutan simpan berhampiran.

"JAS pula sedang membuat rujukan kepada Pejabat Tanah untuk mengetahui pemilik tanah. Tindakan boleh diambil jika didapati kebakaran berpunca daripada kecuaian pemilik," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Dua kawasan catat IPU tidak sihat