Berjawatan bukan alasan tak hadir mesyuarat: Rodziah

Rodziah
Rodziah
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memberi keutamaan terhadap parti sekali pun berjawatan penting dalam pentadbiran kerajaan.

Ahli Pimpinan PKR Selangor, Rodziah Ismail berkata, semua pihak sepatutnya sedia maklum terhadap perkara itu dengan mematuhi apa jua peraturan ditetapkan parti termasuk mengutamakan mesyuarat dan program parti berbanding hal lain.

"Perkara ini jelas kerana presiden semasa Majlis Temu Rapat Pimpinan Pusat di Port Dickson lalu amat menitikberatkan soal kehadiran dalam mesyuarat parti," katanya.

Beliau berkata demikian berikutan beberapa pemimpin PKR tidak hadir pada mesyuarat Majlis Kepimpinan Pusat (MPP) bulanan yang berlangsung di ibu pejabat PKR semalam.

Rodziah selaku Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi negeri berkata, beliau sendiri turut mendahulukan parti jika dipanggil hadir ke mesyuarat walaupun memegang jawatan penting di peringkat negeri.

Tanpa merujuk kepada mana-mana individu, Rodziah meminta 'pemimpin' terbabit sepatutnya hadir memandangkan mereka merupakan kepimpinan penting yang dipilih ahli dalam pemilihan lalu.

Ditanya sama ada pemimpin itu perlu dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti, Rodziah berkata, parti mempunyai peraturan dan disiplin yang perlu dipatuhi.

"Saya rasa jawatankuasa disiplin boleh melihat perkara ini (mengikut peraturan sedia ada)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua pemimpin PKR semasa sesi Temu Rapat Julai lalu juga membuat aku janji agar memberi keutamaan kepada kepentingan kepada rakyat, selain mematuhi apa jua peraturan parti ditetapkan.

"Perkara ini sangat jelas dan mereka seharusnya memberi keutamaan dan melaksanakan aku janji terbabit," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin tidak dapat menghadirkan diri dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) disebabkan mempunyai komitmen lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya banyak komitmen, tak dapat hadir mesyuarat MPP, kata Zuraida