Pantau kualiti sarapan percuma: MBM

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik inisiatif kerajaan bagi menyediakan sarapan percuma buat semua murid sekolah rendah di seluruh negara pada tahun hadapan.

Naib Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, pelaksanaannya nanti dijangka akan memberi manfaat kepada murid, terutama golongan miskin.

"Satu perkara yang sangat baik, cuma kerajaan perlu memantau kualiti makanan berkenaan bagi memastikan pelajar mendapat manfaat semaksimum mungkin," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut katanya, untuk memastikan pelaksanaan pemberian berkenaan memberi kesan menyeluruh, penjualan makanan di luar pagar sekolah perlu dihentikan.

"Bila keluar ada makanan yang tidak sihat dijual, mungkin kerajaan perlu menyarankan agar 50 meter dari pagar sekolah, jualan makanan tak sihat tidak dibenarkan," katanya yang juga merupakan Pengerusi Biro Pendidikan MBM.

Beliau berkata, isu kemungkinan terjadinya pembaziran juga perlu diperhalusi oleh kerajaan.

"Bagi pilihan kepada mereka yang mampu untuk bawa makanan dari rumah kerana jika kita bagi tapi mereka tak makan itu satu pembaziran," katanya.

Terdahulu Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan pelajar-pelajar terus kekal sihat dan cergas di samping dapat membantu mereka memberi tumpuan sebaik mungkin dalam pelajaran setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Melalui program sarapan percuma khas untuk anak-anak di sekolah rendah di seluruh negara itu, beliau berkata, anak-anak akan disediakan sarapan enak berpandukan menu yang sihat dan ia adalah percuma.