Operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup dialih ke Puteri Harbour

Foto Sumbar Internet
Foto Sumbar Internet
A
A
A

JOHOR BAHRU - Operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup di Pontian akan dihentikan sementara mulai 1 September ini dan operasinya akan dialih ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, di Iskandar Puteri mulai hari sama.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata, penghentian sementara itu berikutan langkah kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengendalikan terminal tersebut ketika ini atas sebab-sebab tertentu.

“Kita (kerajaan Johor) sudah memberikan nasihat dan amaran kepada syarikat konsesi tetapi ia tidak dipenuhi. Jadi, mulai 1 September ini kita akan menghentikan operasi di situ (Terminal Feri Antarabangsa Kukup).

“Kita akan alihkan perkhidmatan terminal yang menyediakan perjalanan feri ke Tanjung Balai, Indonesia itu ke Terminal Puteri Harbour,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah Persimpangan Bertingkat Kempas di Taman Setia Tropika di sini hari ini.

Menurutnya, mulai 1 September juga pengendalian Terminal Feri Antarabangsa Kukup itu akan diuruskan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) buat sementara waktu sehingga keputusan melantik pengendali baharu dilakukan kerajaan negeri.

"Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan jawatankuasa terlibat sudah mengadakan mesyuarat berhubung penghentian operasi Terminal Feri Antarabanga Kukup, bulan lepas.

“Konsesi akur dan mulai memindahkan peralatan serta hentikan operasinya. Jabatan Laut Malaysia juga sudah memberikan notis kepada pelanggan untuk perkhidmatan feri beroperasi sehingga 31 Ogos ini kerana kita tidak mahu penghentian operasi ini dilakukan secara mengejut,” katanya.

Mohd Solihan berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Johor kemudian dimaklumkan dan membuat keputusan penghentian operasi itu, minggu lalu. - Bernama

Artikel Berkaitan: