Kebakaran Gelang Patah: Dua sekolah ditutup

Tunku Ismail ketika membuat lawatan ke SMK Tanjung Adang, Gelang Patah hari ini.
Tunku Ismail ketika membuat lawatan ke SMK Tanjung Adang, Gelang Patah hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Adang diumumkan tutup dua hari bermula hari ini sehingga esok.

Perkara itu berikutan kedudukan kedua-dua sekolah berkenaan yang berada begitu hampir dengan lokasi kejadian kebakaran hutan di Kampung Pekajang, Gelang Patah sejak Rabu lalu.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Pengurusan Sekolah) Negeri Johor, Ab Rahim Lamin berkata, penutupan sekolah berkenaan adalah bagi memastikan tahap kesihatan pelajar tidak terjejas kerana terdedah dengan udara kotor, manakala pengisytiharan cuti berkenaan diklasifikasikan sebagai isu bencana.

"Pihak kami sudah buat tinjauan di kedua-dua sekolah berkenaan. Puncanya sekarang adalah kuantiti asap yang kami rasa boleh mendatangkan kesan tidak sihat.

"Jadi, selepas menerima nasihat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pegawai Daerah Johor Bahru dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, kita tutup sekolah ini selama dua hari," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ab Rahim berkata, pihaknya juga akan mempertimbangkan lanjutan cuti kepada dua sekolah berkenaan sekiranya keadaan kebakaran di kawasan itu belum dapat diatasi sepenuhnya.

"Esok kita akan dapatkan lagi nasihat daripada pihak-pihak berkaitan ini. Jika belum boleh diteruskan, kita akan lanjutkan cuti," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tunku Ismail arah SMK Tanjung Adang ditutup sementara

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Pemangku Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mahu SMK Tanjung Adang ditutup sementara waktu demi memastikan tahap kesihatan pelajarnya tidak terjejas.

Titah berkenaan dinyatakan baginda selepas melakukan lawatan ke sekolah itu hari ini berhubung insiden kebakaran hutan berkenaan.

Untuk rekod, SMK Tanjung Adang mempunyai seramai 245 pelajar manakala SK Tanjung Adang seramai 148 pelajar.