Terminal Feri Antarabangsa Kukup henti operasi sementara

Mohd Solihan
Mohd Solihan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Operasi di Terminal Feri Antarabangsa Kukup, Pontian akan dihentikan buat sementara waktu berikutan kerajaan negeri mengambil keputusan menghentikan perkhidmatan syarikat konsesi yang mengendalikan terminal berkenaan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd Solihan Badri berkata, susulan keputusan tersebut, pengoperasian terminal terbabit beralih ke Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour, dekat Iskandar Puteri bermula 1 September ini.

Menurutnya, perkara itu telah diputuskan minggu lepas dalam mesyuarat melibatkan Unit Perancang Ekonomi Negeri dan jawatankuasa yang ditubuhkan sebulan lalu.

"Jadi mulai 1 September, kita akan menghentikan operasi di sana dan kita akan alihkan perjalanan feri ke (Terminal Feri Antarabangsa) Puteri Harbour.

"Pengoperasian terminal akan diserahkan kepada Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dan PAJ akan menguruskan seterusnya hingga ada keputusan yang akan dibuat di kemudian hari kelak," katanya ketika ditemui selepas hadir Majlis Pecah Tanah Kempas Interchange IRDA di Taman Setia Tropika di sini hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Laut Malaysia juga telah memberikan notis memaklumkan pengoperasian dan perkhidmatan feri akan diteruskan sehingga 31 Ogos ini di Terminal Feri Antarabangsa Kukup.

"Kita tidak mahu menghentikan secara mengejut. Jadi melalui 1 September, feri akan bergerak dari Tanjung Balai ke Terminal Feri Puteri Harbour," katanya.

Sementara itu, ditanya status syarikat konsesi tersebut, Mohd Solihan berkata, kerajaan negeri menamatkan perkhidmatan syarikat konsesi itu atas sebab-sebab tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa pihak konsesi telah akur dan mulai memindahkan peralatan dan menghentikan operasinya," katanya.