Tak hantar Zakir pulang tak jejas siasatan polis

Muhyiddin Yassin. Foto Bernama
A
A

GOMBAK - Keputusan kerajaan untuk tidak menghantar pulang penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik ke India tidak akan menjejaskan siasatan laporan terhadapnya berhubung kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan menyedari rasa kurang senang yang timbul dalam kalangan rakyat Malaysia disebabkan tindakan Zakir, justeru siasatan dijalankan supaya sebarang dakwaan diteliti dengan adil.

"Wajar atau tidak Zakir dihantar disebabkan oleh tuntutan India dan sebagainya itu adalah hak kita. Pandangan daripada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) juga menjadi panduan kita.

"Tiada undang-undang menyatakan kita mesti respons. Kalau ada sebab-sebab tertentu yang kita rasa tidak wajar, maka kita tidak perlu respons terhadap tuntutan mana-mana negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa mengenai nilai keagamaan dalam mencegah dan mengawal ekstremisme ganas (PCVE) di Universiti Islam Antarabangsa, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, setakat ini, pendirian Malaysia untuk tidak menghantar Zakir pulang ke India masih kekal dan siasatan terhadapnya tetap dilakukan kerana ia melibatkan hal berbeza isu dalam negara.

"Ada beberapa perkara yang dia perlu patuh. Zakir Naik ke Zakir Turun ke, semua sama. Bukan bermakna kita tidak hormat. Masyarakat Islam kata nak mempertahankan dia, tapi kalau dia menyentuh pihak tertentu macam sekarang, kita tidak boleh biarkan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Status PR pun tidak terlepas undang-undang negara'

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, setakat ini beliau belum menerima laporan penuh siasatan terhadap Zakir sama ada sudah selesai dijalankan atau belum.

"Saya belum dapat laporan lengkap dari polis sama ada sudah selesai siasat berdasarkan beberapa laporan polis dibuat terhadap beliau. Selepas siasatan biasanya polis akan kemukakan ke Peguam Negara," katanya.

Terdahulu polis membuka kertas siasatan terhadap penceramah bebas, Zakir kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keamanan di negara ini.

Zakir didakwa memberikan kenyataan kontroversi terhadap kaum Cina di negara ini sebagai kenyataan balas kepada pihak yang mengarahkannya supaya keluar dari Malaysia.

Zakir dalam satu syarahan di Kelantan, sebelum itu juga didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan penganut Hindu di negara ini lebih percaya kepada Perdana Menteri di India berbanding Dr Mahathir.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia