Sebar luas peluang pengajian tinggi kepada orang asli

Roni menerima surat tawaran daripada Wan Azhar bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek di UMP pada 2 September depan.
A
A

PEKAN - Kementerian Pendidikan (KPM) komited mendekati masyarakat orang asli untuk menyebar luas maklumat berkaitan peluang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Usaha itu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat orang asli terhadap pendidikan yang merupakan wahana penting untuk peningkatan pengetahuan dan pemerkasaan keyakinan diri kaum itu bagi menghapuskan pemikiran malu dan rendah diri yang selama ini meminggirkan mereka dari persaingan sihat dengan kaum lain.

Bagi tujuan itu, Program Sentuhan Kasih@ Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) 2019 Bersama Masyarakat Orang Asli diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar di sini kelmarin.

Ia dijayakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Universiti Malaysia Pahang (UMP), jabatan dan institusi lain di bawah kementerian.

Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, UMP juga komited dalam usaha itu dengan memperuntukkan tempat pengajian di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda untuk anak masyarakat orang asli yang layak dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri dan Jakoa.

Menurutnya, golongan itu akan digilap potensi akademiknya dan seterusnya diberikan peluang pendidikan yang sewajarnya, sama seperti masyarakat kaum lain di negara ini.

"Menerusi Program Sentuhan Kasih yang merupakan penjelajahan kali kelima KPM bersama Jakoa ini bagi menjalinkan komunikasi yang lebih akrab dengan para pemimpin masyarakat dan anak-anak orang asli.

“KPM melalui penyelarasan Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA atau UPU menyediakan laluan khas dalam kemasukan ke IPTA kepada anak orang asli selain golongan orang kurang upaya, atlet dan anak-anak kumpulan berpendapatan B40,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Wan Azhar dan Wahi bersama pelajar sekolah sempena Program Sentuhan Kasih@JPT 2019 Bersama Masyarakat Orang Asli di SMK Lepar Pekan kelmarin.
Wan Azhar dan Wahi bersama pelajar sekolah sempena Program Sentuhan Kasih@JPT 2019 Bersama Masyarakat Orang Asli di SMK Lepar Pekan kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Wahi Nordin; Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Mohd Razali Mustafar dan Pengetua SMK Lepar, Mohd Shuha Abdul Karim.

Pada majlis itu, Wan Azhar turut menyampaikan surat tawaran kemasukan ke universiti kepada seorang pelajar orang asli, Roni Chandan Kumar Dhar, 20, dari Runchang yang bakal mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek di UMP pada 2 September depan.

Dr Wan Azhar berkata, pada sesi akademik 2019/2020 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebanyak 93.7 peratus iaitu seramai 401 daripada 428 yang layak dalam kalangan anak orang asli telah ditawarkan tempat ke universiti awam (UA) seluruh negara.

Katanya, bagi lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi dan asasi pula, seramai 74 pelajar cemerlang orang asli berjaya ditawarkan tempat ke UA, iaitu pencapaian 100 peratus daripada sasaran.

Sementara itu, Wahi berkata, selain memberi penerangan mengenai dasar dan syarat kemasukan, turut didedahkan kaedah permohonan dan proses pemilihan pengambilan kepada pelajar.

Menurutnya, program itu juga bertujuan menyebarluaskan maklumat mengenai program pengajian sedia ada serta program baharu yang ditawarkan oleh universiti awam, politeknik, Kolej Komuniti, Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan institusi lain bagi sesi akademik 2020/2021 dan ambilan bagi pembelajaran jarak jauh, pembelajaran secara separuh masa dan pembelajaran melalui kursus pendek.

"Mereka juga berpeluang mendapatkan maklumat mengenai program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) dengan kaedah pembelajaran yang berbeza daripada kaedah pendidikan formal seperti calon yang mempunyai pengalaman kerja.

"Mereka yang ingin melanjutkan pelajaran melalui program PSH akan diberi penerangan mengenai Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya.

Menurutnya, seramai 9,688 anak orang asli berumur di antara 6 hingga 12 tahun direkodkan tahun ini dan 4,906 orang sedang menuntut di sekolah menengah manakala 35,736 golongan belia yang berumur antara 15 hingga 40 tahun.

"Sehingga kini terdapat seramai 1,090 pelajar orang asli seluruh negara sedang menuntut di IPTA dalam pelbagai jurusan dan lebih membanggakan, terdapat pelajar yang telah berjaya melanjutkan pelajaran mereka di universiti luar negara pada peringkat pengajian ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia