Ajal ketika memandu

Kenderaan dipandu mangsa melanggar pembahagi jalan di laluan berkenaan.
Kenderaan dipandu mangsa melanggar pembahagi jalan di laluan berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki warga emas maut selepas mengalami sesak nafas sebelum kereta dipandunya terbabas di Jalan Daya Utama Taman Daya di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.45 malam itu, mangsa Lee Nee Hien, 60 tahun, sedang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda dari arah Kangkar Tebrau menghala ke Setia Indah.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai mengalami sesak nafas lalu hilang kawalan dan terbabas melanggar batu pembahagi jalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata, pemeriksaan dalam kenderaan dipandu mangsa turut menemui ubat dan beberapa alatan bantuan pernafasan.

“Mangsa ditemui dalam keadaan bersandar di tempat duduk pemandu.

“Rakaman percakapan bersama waris mangsa iaitu isterinya turut mendapati bahawa mangsa mempunyai rekod kesihatan penyakit asma,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Sek 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: