Presiden Brazil hantar tentera bantu padam kebakaran di Amazon

Pemandangan udara kebakaran di hutan hujan Amazon kira-kira 65 kilometer dari Porto Velho, Rondonia semalam. - Foto AFP
Pemandangan udara kebakaran di hutan hujan Amazon kira-kira 65 kilometer dari Porto Velho, Rondonia semalam. - Foto AFP
A
A
A

PORTO VELHO - Presiden Brazil, Jair Bolsonaro semalam mengeluarkan dekri membenarkan kerahan anggota tentera bagi membantu memadam kebakaran di hutan hujan Amazon.

Keputusan Bolsonaro dibuat ketika demonstrasi diadakan di seluruh dunia berhubung kebakaran di hutan hujan berkenaan yang digelar 'paru-paru bumi' dan berperanan penting mengawal perubahan iklim.

Ribuan penunjuk perasaan berarak di Rio de Janeiro dan Sao Paulo, di tengah-tengah tekanan memuncak dari Eropah dan juga tawaran bantuan memadam kebakaran daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson.

Kebakaran hutan hujan terbesar dunia itu turut mencetuskan perang mulut antara Bolsonaro dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang menyifatkan kebakaran itu sebagai 'krisis antarabangsa'.

Macron berikrar akan menyekat perjanjian perdagangan antara Kesatuan Eropah (EU) dan blok dagangan negara Amerika Selatan, Mercosur, yang turut melibatkan Brazil.

Ireland turut mengancam perjanjian terbabit sementara Finland berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada negara EU supaya berhenti mengimport daging dari Brazil.

Aktivis mengadakan protes terhadap kerajaan Presiden Jair Bolsonaro di bangunan konsulat Brazil di Bogota, Colombia berhubung kebakaran di hutan hujan Amazon. - Foto AFP
Aktivis mengadakan protes terhadap kerajaan Presiden Jair Bolsonaro di bangunan konsulat Brazil di Bogota, Colombia berhubung kebakaran di hutan hujan Amazon. - Foto AFP

Bagaimanapun, Bolsonaro bertegas kebakaran berkenaan tidak harus dijadikan alasan untuk menghukum negaranya.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat kebakaran hutan di seluruh dunia dan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk kemungkinan sekatan antarabangsa," kata Bolsonaro.

Dalam pada itu, angka rasmi menunjukkan 76,720 kebakaran direkod di Brazil tahun ini, angka tertinggi sejak tahun 2013 dan lebih separuh kebakaran berlaku di Amazon.

Menurut pakar, jumlah kebakaran yang tinggi disebabkan aktiviti pembasmian hutan bagi tujuan pertanian dan penternakan.

Institut Kebangsaan untuk Penyelidikan Angkasa (INPE) berkata, sejumlah 700 kebakaran baharu dikesan antara Rabu dan Khamis lalu hingga menyebabkan pencemaran udara di bandar seperti Sao Paulo yang bertukar gelap pada Isnin lalu. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran hutan Amazon: Presiden Brazil tolak campur tangan asing