Pertukaran portfolio: Serahlah kepada kebijaksanaan PM

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

PUTRAJAYA - Cadangan pertukaran kecil portfolio menteri yang dipertimbangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin usaha terbaik untuk menambah baik dan meningkatkan prestasi kementerian, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, semua pihak perlu berlapang dada dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri memutuskan langkah terbaik mengikut keperluan semasa kerajaan dan masyarakat.

"Selepas lebih setahun, Perdana Menteri lihat kemungkinan bagi beliau untuk tambah baik dan tingkatkan prestasi kerajaan, di mana antara perkara yang disebut ialah menyesuaikan portfolio kementerian," katanya mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam yang memikirkan untuk melakukan pertukaran portfolio anggota Kabinet.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri PH sudah beri khidmat terbaik: Anwar

Saifuddin yang ditemui pada majlis mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan bersama anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia, Kajang di restoran d'Tandoor di sini hari ini berkata, selaku anggota Kabinet beliau menghormati apa sahaja keputusan yang dibuat Perdana Menteri.

Semalam, Dr Mahathir ketika ditanya mengenai laporan akan berlaku rombakan Kabinet pada bila-bila masa dilaporkan berkata, beliau ada menyatakan kepada jemaah menteri tentang cadangan melakukan sedikit pertukaran portfolio dalam kalangan anggotanya cuma belum berbuat demikian.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung PKR menggesa pimpinan parti yang dipilih melalui pemilihan parti menghormati mandat yang diberikan ahli dengan menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin termasuk menghadiri mesyuarat parti.

"Saya berpegang kepada setiap jawatan datang dengan amanah, apatah lagi jalan untuk mendapatkannya adalah melalui pemilihan dalam pertandingan,” katanya mengulas keputusan Lembaga Disiplin PKR bahawa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak akan dikenakan tindakan disiplin walaupun tidak hadir ke mesyuarat parti termasuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP) beberapa kali.

Artikel Berkaitan:

Malah, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim dilaporkan berkata, keputusan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap Mohamed Azmin terletak di bawah bidang kuasa Setiausaha Agung parti.

Mengulas kenyataan itu, Saifuddin Nasution berkata, beliau memilih untuk berhubung terus dengan Mohamed Azmin bagi menyampaikan apa-apa pandangan dan ia langkah yang difikirkan memadai buat masa sekarang.

Katanya, beliau masih menjaga hubungan dengan Mohamed Azmin kerana mereka memiliki sejarah hubungan yang panjang, sebagai aktivis parti yang paling awal memulakan perjuangan PKR. - Bernama