Ayah pesan jaga ibu sebelum maut kemalangan

Kemalangan maut membabitkan enam kenderaan di Jalan Bagan-Padang Serai pagi tadi. Gambar kecil, Mohd Taher.
Kemalangan maut membabitkan enam kenderaan di Jalan Bagan-Padang Serai pagi tadi. Gambar kecil, Mohd Taher.
A
A
A

KULIM - "Bila abah dah tak ada, jagalah mak," itu pesanan terakhir seorang bapa kepada anaknya sebelum terlibat kemalangan maut di Jalan Bagan-Padang Serai hari ini.

Dalam kemalangan jam 7.44 pagi tadi, mangsa, Mohd Taher Mohd Saleh, 39, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan lima lagi kenderaan lain semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.

Isterinya, Norliza Mohd Yusof, 40, berkata, suaminya menyampaikan pesanan itu kepada anak kedua mereka, Nurul Anis Anisa, 12, ketika bersalam pagi tadi.

Menurutnya, suaminya sebelum itu menghantar Nurul Anis ke kelas tambahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Lobak, Padang Serai.

"Lebih kurang jam 6.30 pagi tadi dia hantar anak kedua yang akan mengambil Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ke kelas tambahan.

"Arwah pesan seperti itu kepada Nurul Anis ketika mereka bersalam buat kali terakhir," katanya kepada pemberita di Hospital Kulim hari ini.

Norliza
Norliza

Norliza berkata, dia sekeluarga tinggal di Estet Keladi Harta Padang Serai kerana suaminya bekerja di situ sebagai penyelia ladang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Allahyarham tidak menunjukkan perubahan sikap dan sempat meraikan majlis hari lahir anak mereka pada malam sebelum kejadian.

"Suami tak tunjuk apa-apa perubahan. Dia macam biasa selalu melawak dengan anak-anak. Kita pun tak sangka nak jadi macam ini.

"Malam tadi dia juga sempat sambut hari lahir anak nombor tiga di rumah. Majlis itu dia yang atur. Setiap kali hari lahir anak, suami akan buat majlis meraikan mereka," katanya.

Allahyarham meninggalkan anak berusia 13 hingga 4 tahun.

Norliza yang juga suri rumah berkata, selain penyayang dengan keluarga, sikap suaminya amat disenangi rakan-rakan.

"Suami juga selalu bantu mangsa kemalangan di kawasan Padang Serai. Jika ada kemalangan dia antara orang pertama yang sampai dulu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kulim, Superintendan Mohd Yusof Shaari berkata, kemalangan membabitkan dua buah kereta, tiga motosikal dan sebuah lori.

"Mangsa dan seorang lagi penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala pemandu lori dan seorang lagi penunggang motosikal mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Kepala Batas.

"Dua lagi mangsa iaitu pemandu kereta terlibat tidak mengalami kecederaan," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.