X

Kindly register in order to view this article
!

Ajal ketika pulang ke rumah

A
A

PASIR GUDANG - Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal dinaikinya terbabas akibat berlanggar dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Bandar di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, dalam kejadian jam 8.45 pagi itu, mangsa, Muhammad Fazrul Nizam Abd Akid, 25, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai waktu kerja.

"Hasil siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Kota Masai.

"Setibanya di lokasi kejadian, mangsa berlanggar dengan sebuah kenderaan mengakibatkan motosikal dinaikinya terbabas ke kanan jalan dan merempuh batu pembahagi jalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail berkata, kenderaan yang berlanggar dengan motosikal mangsa masih belum dikenal pasti kerana pemandunya meneruskan perjalanan selepas kemalangan.

"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Polis memohon kepada orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati sistem jalan merupakan dua lorong dua hala dan kejadian berlaku di lorong kanan.

Katanya, ketika kejadian permukaan jalan adalah kering dengan keadaan cuaca baik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.