Sejarah Islam dorong Tunku Azizah berkenan jadi Canselor UIAM

Tunku Azizah berkenan melawat pameran semasa mengadakan lawatan kerja ke UIAM hari ini.
 Foto: BERNAMA
A
A

KUALA LUMPUR - Minat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam bidang seni bina, sejarah Islam dan undang-undang Islam mendorong baginda berkenan untuk menjadi Ketua Perlembagaan (Canselor) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Raja Permaisuri Agong berkongsi detik ketika Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertanya kepada baginda mengenai universiti mana yang menjadi pilihannya sebagai canselor.

Titah baginda, UIAM yang juga sebuah universiti Islam terkemuka dan berprestij ialah universiti pertama disebut Sultan Abdullah daripada senarai universiti yang mahukan baginda menjadi canselor ialah UIAM.

"Saya kata, okey, tak perlu sebut yang lain” "Saya kata saya akan terima UIAM kerana bagi saya ia sebuah universiti Islam yang berprestij dan saya meminati Pengajian Islam dan berharap saya boleh ‘ganggu’ Fakuiti Seni Bina.

"Saya memang minat seni bina, dari segi sejarah Islam dan undang-undang Islam,” titah baginda pada majlis santapan tengah hari ketika berangkat ke majlis Kunjungan Diraja di UIAM, hari ini.

Kunjungan itu adalah kali pertama buat Tunku Azizah selepas dilantik sebagai Ketua Perlembagaan UIAM pada Jun lalu.

Semasa lawatan itu, baginda diiringi anakanda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.

Sementara itu, Tunku Azizah menzahirkan harapan agar ada antara puteri baginda memilih universiti itu untuk menyambung pengajian.

"Ini sepatutnya bukan lawatan rasmi. Saya hanya ingin melawat dan tengok UIAM, saya membawa dua anak perempuan saya dengan harapan mereka memilih UIAM. Saya bawa adik bongsu, Tunku Masera yang juga lulusan UIAM.

"Saya harap kehadiran saya di universiti ini, dapat saya mempelajari daripada anda semua untuk menjadi seorang lebih baik, menjadi permaisuri yang lebih baik dan yang terbaik untuk Malaysia,” titah baginda.

Tunku Azizah turut bertitah supaya hadirin membacakan Al-Fatihah buat Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah,yang juga merupakan bekas Ketua Perlembagaan UIAM.

Terdahulu, baginda berkenan meluangkan masa lebih tiga jam di kampus UIAM di Gombak dan diberi taklimat oleh pengurusan tertinggi universiti itu.

Tunku Azizah turut berkenan melawat Kulliyyah (Fakulti) Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), serta melihat pameran dianjurkan pelajar tahun akhir kuliah tersebut.

Dalam lawatan itu, baginda turut berkenan menaiki bas khas bagi meninjau keseluruhan kampus UIAM serta ke Pusat Asuhan dan Jagaan Kanak-Kanak IIUM Educare yang disediakan untuk anak-anak kakitangan universiti itu dengan pelbagai modul pembelajaran disediakan.

Hadir sama pada kunjungan itu ialah Presiden UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar; Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; timbalan-timbalan rektor dan pengarah-pengarah eksekutif UIAM. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia