X

Kindly register in order to view this article
!

Hukum tunaikan dua kali solat fardu yang sama

JIKA kita mengulang solat berkenaan untuk mendapatkan pahala berjemaah atau membantu orang lain mendapatkan pahala jemaah, maka disunatkan berbuat demikian. -Gambar hiasan
A
A

SEBAIK sahaja masuk waktu solat, kita diperintahkan ALLAH SWT untuk menunaikan solat berkenaan pada waktunya.

Dalam sehari, ada lima solat fardu yang perlu ditunaikan iaitu Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh.

Persoalannya, bolehkah seseorang itu mengulangi solatnya semula dalam waktu yang sama dengan niat membantu orang lain mendapatkan pahala jemaah?

Terdapat dua isu dalam perkara itu:

1. Seseorang yang telah solat jemaah, kemudian solat sekali lagi untuk membantu orang lain mendapat pahala jemaah.

2. Seseorang yang telah solat sendirian, kemudian solat sekali lagi apabila mendapati ada solat jemaah didirikan.

Pada asalnya, hukum menunaikan solat fardu sebanyak dua kali bagi satu waktu tanpa sebarang sebab dan keperluan ialah makruh.

Ia berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Umar RA. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Janganlah kamu solat fardu sebanyak dua kali dalam sehari." (Sunan Abi Dawud dan Sunan al-Nasa'ie)

Bagaimanapun, jika ia dilakukan untuk mendapatkan pahala berjemaah, maka disunatkan untuk diulangi semula bersama jemaah yang didapatinya.

Begitu juga apabila solat berkenaan diulangi semula untuk membantu orang lain mendapatkan pahala jemaah, hukumnya ialah sunat.

Ia berdasarkan kepada hadis-hadis Nabi Muhammad SAW dan amalan para sahabat sendiri, selain pandangan para fuqaha' yang berpegang kepada pandangan berkenaan.

Selain itu, ia juga ialah pandangan Mazhab Maliki dan Syafie.

Jadi tidak salah kita mengulang semula solat jika didapati ada solat berjemaah yang dilakukan meskipun kita sendiri sudah menunaikannya secara bersendirian sebelum itu lagi untuk mendapatkan pahala berjemaah.

(Sumber: #Al-Kafi 1020: Hukum Mengulangi Solat Fardu, Laman Web Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus