Mujahid gesa jangan jadikan Islam modal politik

Majlis Pelancaran Program Halal Fun Run 2019 dirasmikan oleh Mujahid bersama wakil dari pihak industri halal negara di Putrajaya. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
Majlis Pelancaran Program Halal Fun Run 2019 dirasmikan oleh Mujahid bersama wakil dari pihak industri halal negara di Putrajaya. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI
A
A
A

PUTRAJAYA - Pembangkang diingatkan supaya tidak menjadikan agama Islam sebagai modal untuk berpolitik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pihak pembangkang seolah-olah menggambarkan Islam terancam di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, beliau sendiri turun padang ke seluruh negara bagi menjelaskan isu dan dasar pentadbiran Islam serta pencapaian kerajaan kepada masyarakat.

"Jadi, jika nak ambil dua atau tiga contoh mengatakan Islam terancam dengan menggambarkan keseluruhan kegagalan, bagi saya itu sudah melampau.

"Saya ingatkan mereka, jangan kerana politik kita menggadaikan dan meletakkan Islam sebagai modal," katanya selepas Majlis Pelancaran Halal Fun Run sempena Karnival Rahmah Peringkat Kebangsaan di Putrajaya hari ini.

Mujahid mengulas mengenai Wacana Sinar Harian bertajuk Melayu Islam Pasca PRU15 semalam di mana ahli panel daripada pembangkang mendakwa Islam di bawah PH terancam.

Selain itu, Mujahid berkata, sudah sememangnya pembangkang selama ini menguar-uarkan bahawa Islam terancam di bawah PH, namun mereka gagal memperincikan bentuk ancaman itu.

"Kalau dimaksudkan terancam itu hanya dialaskan kerana DAP, maka hebatlah DAP sampai Islam boleh terancam.

Artikel Berkaitan:

"Sedangkan kami di Kabinet, segala keputusan dibahas dan dibincangkan mengikut kaedah dan tiada isu yang dianggap terancam," katanya.

Sehubungan itu, Mujahid meminta pembangkang agar tidak keliru sama ada mereka sendiri terancam sehingga timbul dakwaan bahawa Islam juga terjejas dan perkara ini tidak sama sekali berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Cerai' sahaja DAP jika bermasalah, Annuar beritahu Tun M

Terdahulu, Mujahid mengajak orang ramai menyertai Program Halal Fun Run 2019 anjuran Jabatan Kemajuan Malaysia (Jakim) yang akan diadakan pada 28 September 2019 bertempat di Dataran

Putrajaya.

Dalam perkembangan lain, Mujahid memaklumkan kerajaan akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berkaitan kemasukan penceramah luar untuk berceramah dalam negara ini.

Katanya lagi, Kabinet sebelum ini juga sudah bersetuju bahawa kehadiran penceramah berkenaan mestilah mengikut syarat yang ditetapkan.

Beliau diminta mengulas mengenai isu membabitkan tokoh pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik.