X

Kindly register in order to view this article
!

Gojek bantu anak muda dapat peluang pekerjaan

Syed Saddiq melalui video dimuat naik di Facebook memberi respons berkaitan Gojek.
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan Kabinet meluluskan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan teksi motosikal, Gojek akan memberi peluang untuk anak muda terutamanya 'Mat Motor' mendapatkan pekerjaan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia juga dapat membantu masyarakat mendapatkan pengangkutan awam pada kos yang rendah tanpa perlu menghadapi kesesakan trafik yang teruk.

"Kita ikhlas ingin memastikan bahawa golongan 'Mat Motor' mendapat peluang pekerjaan puluhan ribu.

"Pada masa yang sama kita ingin membantu pak cik dan mak cik yang mengendalikan warung sedia ada untuk menjual barang mereka melalui servis Gojek," katanya dalam video dimuat naik di Facebook miliknya.

Menurutnya, perkhidmatan Gojek juga dapat dimanfaatkan usahawan muda untuk turut sama menjual produk mereka.

"Insya-ALLAH kita akan terus berusaha keras untuk memastikan anak muda akan dapat pembelaan yang terbaik. Ini adalah masa depan Malaysia kita semua," katanya.

Syed Saddiq hari ini membentangkan usul dan cadangan kepada Kabinet untuk melaksanakan program itu.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof turut memaklumkan hari ini bahawa jemaah menteri memutuskan kajian dari sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

Beliau berkata, keputusan dibuat supaya Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Belia dan Sukan melaksanakan tanggungjawab mewujudkan ruang serta undang-undang untuk Gojek. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Gojek dapat lampu 'lampu hijau' Putrajaya


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus