Indeks pencemaran udara di N.Sembilan tinggi tetapi terkawal

Timbalan Pengarah Operasi JAS Negeri Sembilan, S Sivanathiran (kanan) menunjukkan notis dipasang pada kilang peleburan timah yang didapati beroperasi secara haram.
Timbalan Pengarah Operasi JAS Negeri Sembilan, S Sivanathiran (kanan) menunjukkan notis dipasang pada kilang peleburan timah yang didapati beroperasi secara haram.
A
A
A

SEREMBAN – Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Negeri Sembilan menunjukkan bacaan tinggi sejak tahun lalu, namun masih terkawal.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, perkara itu dibentangkan dalam Sesi Libat Urus Bersama Kerajaan Negeri Sembilan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi semalam.

Menurutnya, faktor utama bacaan IPU di negeri ini tinggi disebabkan oleh kebakaran hutan yang berlaku di Sumatera, Indonesia selain aktiviti pembakaran terbuka dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab di negeri ini.

“Orang ramai tidak perlu panik kerana ia masih terkawal. Cuma apa yang dikesalkan apabila masih ada individu tidak prihatin buat pembakaran terbuka yang dikesan berlaku di kawasan perumahan.

“Kita memandang serius perkara ini. Tahun ini terdapat dua kes berulang dan pelaku telah dikenakan kompaun RM2,000 atas kesalahan membuat pembakaran terbuka,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Negeri di sini hari ini.

Menurutnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan telah mengambil tindakan sewajarnya untuk mengawal perkara itu termasuk melakukan aktiviti penguatkuasaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, dua kilang yang menjalankan aktiviti kitar semula plastik dan peleburan timah di Jalan Pantai-Jelebu diserbu pihaknya pagi tadi susulan aduan penduduk yang diterima dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Sivanathiran (dua dari kanan) menunjukkan samp bahan yang diambil di kilang peleburan timah yang diserbu.
Sivanathiran (dua dari kanan) menunjukkan samp bahan yang diambil di kilang peleburan timah yang diserbu.

“Penduduk di Taman Paroi Jaya, Taman Panchor Jaya dan Taman Ampangan mendakwa mereka menghidu bau bahan kimia.

"Selepas operasi bersepadu membabitkan JAS, Majlis Perbandaran Seremban dan Nilai serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal (SWCorp) pagi tadi, kita mendapati kedua-dua premis beroperasi secara haram.

“Premis kemudian telah ditahan beroperasi mengikut Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta merta dan kertas siasatan dibuka ke atas pemilik premis mengikut seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu menjalankan aktiviti premis tanpa mendapat kelulusan laporan mengenai kesan kepada alam sekeliling dari JAS,” katanya.

Veerapan berkata, jika sabit kesalahan, pemilik boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Selain itu katanya, sebuah kilang membuat tiles di kawasan perusahaan Pantai dikenakan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Tindakan diambil selepas premis didapati menjalankan aktiviti pembuatan tiles yang mana salah satu proses dilakukan iaitu ‘spray diesel’ dibuat tanpa menggunakan alat kawalan udara yang cukup bagi mengawal daripada berlaku pencemaran udara.

"Kita tiada masalah untuk mereka menjalankan perniagaan, tetapi sila patuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan," katanya.