Program Abang Bomba Ke Sekolah akan dibentang kepada TPM

Mohamed Zahari (tengah) ketika sidang media.
Mohamed Zahari (tengah) ketika sidang media.
A
A
A

PASIR GUDANG - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersedia untuk memperluaskan penganjuran program Abang Bomba Ke Sekolah pada masa akan datang.

Bagaimanapun, semua itu bergantung kepada keputusan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas laporan berkaitan program dianjurkan di 22 buah sekolah di Pasir Gudang dibentangkan.

Timbalan Ketua Pengarah Nadma (Sektor Pengurusan Pasca Bencana), Mohamed Zahari Razali berkata, pihaknya akan membentangkan laporan penganjuran dua fasa program yang dijalankan bomba kepada Dr Wan Azizah dalam masa terdekat.

"Kita akan bentang dahulu kepada Timbalan Perdana Menteri. Kita akan dengar pandangan beliau. Kalau beliau kata teruskan, insya-ALLAH kita akan bincang dengan bomba untuk buat.

"Kita beritahu dua fasa sudah dibuat selain memaklumkan kesan program yang amat positif mengikut pandangan daripada pelajar, warga pendidik dan masyarakat. Kalau dia kata boleh diperluaskan, kita akan rancang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Penutup Program Abang Bomba Ke Sekolah 2019 anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2 di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin serta Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk para pelajar dan guru di sekolah yang terlibat dalam program berkenaan antaranya, latihan pengungsian bangunan, ceramah keselamatan kebakaran, cara menangani stres, pameran dan demonstrasi serta gotong-royong.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Zahari berkata, segala ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diajar kepada pelajar dan guru itu akan membolehkan golongan tersebut sebagai penggerak masyarakat apabila berlaku sesuatu bencana.

Sementara itu, Abdul Wahab berkata, pihak JBPM Johor telah diminta menambah nilai modul program untuk diperluaskan ke 111 buah sekolah yang ada di Pasir Gudang dan seterusnya di seluruh negara.

"Ini merupakan usaha yang boleh mendekatkan bomba dengan warga pendidikan dan komuniti setempat. Kita guna platform aspek kebombaan dan menyelamat.

"Inilah ruang dan peluang yang boleh bomba guna dan teruskan untuk dikembangkan ke seluruh Malaysia. Yang penting masyarakat dapat ilmu dan membantu diri dan masyarakat dalam apa jua situasi bencana," katanya.

Program Abang Bomba Ke Sekolah di 22 buah sekolah di Pasir Gudang melibatkan penyertaan 19,571 pelajar dan 1,448 guru.