20 NGO Perak lapor polis bendera terbalik

Syamsul Bahrin Putra (tiga dari kiri) bersama wakil NGO lain menunjukkan laporan polis dibuat berhubung isu pemasangan bendera terbalik.
Syamsul Bahrin Putra (tiga dari kiri) bersama wakil NGO lain menunjukkan laporan polis dibuat berhubung isu pemasangan bendera terbalik.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak membuat laporan polis berhubung insiden bendera Malaysia dipasang terbalik oleh beberapa premis di seluruh negara yang tular sejak akhir-akhir ini.

Pengerusi Pertubuhan Warisan Persahabatan Gugusan Manjoi (Sahabat), Syamsul Bahrin Putra Ahmad Shibi berkata, tindakan memasang bendera terbalik beberapa premis dilihat seolah-olah sengaja dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, simbolik kepada tindakan itu turut dilihat sebagai merendahkan agama Islam dan raja-raja Melayu.

"Sepatutnya bendera dipasang mengikut aturan yang betul tetapi mereka sengaja terbalikkan bendera itu dengan meletakkan warna kuning yang melambangkan Raja Berperlembagaan dan simbol bulan sabit yang membawa lambang agama Islam ke bawah.

"Pada saya, tindakan itu menunjukkan Yang di-Pertuan Agong di bawah. Adakah ini tujuan mereka untuk memberi isyarat sesuatu kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Tindakan ini seperti mencabar kedaulatan Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan sebuah premis di Tasek, di sini selain premis di negeri lain yang turut memasang bendera terbalik.

Sementara itu, Syamsul Bahrin Putra berkata, pihaknya bersama-sama semua 20 NGO yang lain meminta pihak polis menjalankan siasatan di bawah akta berkaitan tindakan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beberapa NGO di seluruh negara dijangka akan turut membuat laporan polis berkaitan isu berkenaan agar tindakan tegas dapat diambil.

Beliau berkata, perkara berkenaan bukan isu baharu tetapi telah berlaku sejak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Menurut Syamsul Bahrin Putra, tindakan undang-undang perlu diambil ke atas mana-mana pihak yang bertindak sedemikian walaupun mereka sudah meminta maaf bagi memberikan pengajaran kepada rakyat.