Skim mySalam hanya untungkan rakyat

Skim mySalam
Skim mySalam
A
A
A

SHAH ALAM - Skim mySalam merupakan skim takaful yang hanya menguntungkan rakyat dan bukan kepada pihak swasta.

Dalam satu kenyataan Kementerian Kewangan berkata, skim perlindungan kesihatan itu adalah satu skim takaful yang bukan bermotif keuntungan.

Menurutnya, ia ditawarkan oleh kerajaan kepada 3.8 juta orang iaitu dalam kumpulan B40 yang layak.

"Kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa tiada unsur keuntungan untuk mana-mana syarikat insurans melalui skim mySalam.

"Segala baki premium yang telah dibayar kepada syarikat takaful yang tidak dituntut, dan faedah simpanan yang terkumpul akan dibayar balik sepenuhnya kepada Tabung Amanah mySalam," katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan kerajaan sentiasa prihatin terhadap beban kewangan rakyat terutamanya ketika kecemasan kesihatan yang tidak dijangka.

Jelasnya, kementerian itu (Kementerian Kewangan) dan Bank Negara Malaysia telah menjalankan kajian dan penilaian yang menyeluruh untuk memastikan bahawa skim mySalam memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat.

Maklumat mengenai skim ini boleh didapati dengan mudah melalui laman web Skim mySalam di www.mysalam.com.my.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan berkenaan turut memaklumkan dakwaan-dakwaan sinis artikel komentar yang diterbit oleh Sinar Harian adalah palsu sama sekali.

Katanya, artikel seperti itu berdasarkan fakta palsu dan tajuk yang sensasi adalah bertujuan untuk menidakkan manfaat yang dinikmati rakyat daripada skim ini.

Kementerian itu tampil mengulas mengenai sebuah artikel komentar yang diterbitkan oleh Sinar Harian pada 19 Ogos 2019 mempersoalkan skim mySalam sebagai "Skim Cepat Kaya".

Artikel tulisan tersebut didakwa telah membuat pelbagai dakwaan palsu dan secara langsung menunjukkan bahawa beliau tidak tahu fakta-fakta sebenar berkaitan skim ini.