Gajah liar ditangkap di Kampung Memali dipindahkan

Anggota Perhilitan bersama penduduk bergambar kenangan di depan gajah dipindahkan itu.
Anggota Perhilitan bersama penduduk bergambar kenangan di depan gajah dipindahkan itu.
A
A
A

BALING - Gajah jantan liar yang berjaya ditangkap di Kampung Memali Khamis lalu dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Royal Belum, Perak semalam.

Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, gajah berusia 15 tahun dengan berat dua tan itu dikesan merosakkan tanaman penduduk di sekitar Mukim Siong sejak dua tahun lalu.

"Kita memburu gajah ini dari semasa ke semasa, tetapi baru sekarang kita berjaya menangkapnya," katanya pada sidang media di Kampung Charok Puteh, semalam.

Jamalun berkata, operasi pemindahan gajah itu melibatkan 35 anggota Perhilitan selain turut dibantu dua ekor gajah denak betina iaitu Abot dan Rambai yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.

Menurutnya, banyak faktor yang menghalang tangkapan dibuat sebelum ini dan operasi yang bermula kira-kira jam 9 pagi itu turut dibantu pelbagai agensi termasuk penduduk sekitar.

"Kita melihat kepada bentuk muka bumi dan kawasan untuk kita menangkap gajah tersebut. Perkara paling penting adalah keselamatan anggota Perhilitan," katanya.

Tambahnya, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku gangguan daripada gajah lain di kawasan itu pada masa akan datang.

"Buat masa ini gangguan akan berkurangan tetapi pada masa akan datang saya rasa memang akan berlaku lagi gangguan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun kita akan memantau dari semasa ke semasa," katanya.

Jamalun berkata, gajah berkenaan berada dalam keadaan sihat memandangkan banyak sumber makanan di kawasan itu.

"Di sini banyak sumber makanannya seperti pisang dan kelapa sawit dan banyak tumbuh-tumbuhan lain," katanya.

Jamalun berkata, berkemungkinan gangguan berlaku pada habitatnya menjadi punca haiwan berkenaan masuk ke kawasan penduduk.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris berkata, beliau berterima kasih kepada semua pihak terlibat terutama kepada Perhilitan yang bertungkus lumus menangkap haiwan terbabit.

“Alhamdulillah dalam tempoh empat hari operasi ini berjaya ditamatkan dengan kerjasama semua pihak.

“Saya bersyukur kepada ALLAH kerana masalah selama dua tahun ini berjaya diselesaikan. Penduduk tidak lagi perlu takut untuk keluar bekerja,” katanya.

Manakala penduduk, Shafie Awang, 54, berkata, ketiadaan gajah berkenaan akan membolehkan penduduk meneruskan aktiviti pertanian terutamanya menanam pokok kelapa sawit.

“Ada penduduk yang telah menukar tanaman kelapa sawit kepada getah selepas dirosakkan gajah. Selepas ini penduduk sudah boleh kembali kepada tanaman kelapa sawit seperti biasa,” katanya.