Hina tentera: Permohonan maaf tak memadai

Sebahagian anggota PVATM Cawangan Jeli yang membuat laporan polis bagi menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap Yew Yin di sini semalam.
Sebahagian anggota PVATM Cawangan Jeli yang membuat laporan polis bagi menggesa siasatan menyeluruh dijalankan terhadap Yew Yin di sini semalam.
A
A
A

JELI - Permohonan maaf semata-mata tidak memadai untuk menutup kesalahan ahli perniagaan, Koon Yew Yin selepas mengeluarkan kenyataan menggores hati tentera dan bekas-bekas tentera di negara ini.

Ketua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Jeli, Che Abd Aziz Che Mood berkata, meskipun telah mengemukakan permohonan maaf, namun ia bukanlah satu penyelesaian berikutan dakwaan dibuat agak keterlaluan.

"Kesannya cukup hebat kepada kami yang pernah berada dalam pasukan keselamatan negara, begitu juga dengan mereka yang sedang berkhidmat.

"Ia satu kenyataan berbaur fitnah yang melibatkan maruah kami dan ATM sendiri," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Che Abd Aziz berkata, kenyataan tersebut juga seolah-olah menghina Yang di-Pertuan Agong selaku Komander Tertinggi ATM dan dalam masa sama meremehkan pentadbiran, fungsi serta peranan pejuang negara.

"Mustahil Yew Yin tidak sedar peranan pejuang negara dalam mempertahankan kedaulatan sehingga beliau boleh jadi ahli perniagaan berjaya, kaya-raya dan hidup dengan aman damai tanpa sebarang gangguan serta ancaman," katanya.

Che Abd Aziz berkata, beliau mewakili semua ahli menggesa dan menuntut supaya kerajaan menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap Yew Yin.

"Hukuman sewajarnya perlu diberikan sebagai pengajaran buat individu berkenaan supaya tidak ada lagi mana-mana pihak berani menghina tentera selepas ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Che Abd Aziz sebelum itu tampil bersama sebahagian ahli PVATM Cawangan Jeli membuat laporan terhadap Yew Yin di Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli.