UMNO Sabah diberi mandat sekiranya berlaku PRK Kimanis

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR – UMNO Sabah diberikan autonomi untuk menentukan perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk membatalkan kemenangan penyandangnya, Datuk Seri Anifah Aman, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis, UMNO akan menyerahkan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah untuk mengemukakan syor kepada UMNO Pusat berkaitan langkah yang perlu diambil parti itu sekiranya PRK berlaku.

"Baru diputus mahkamah pilihan raya, mungkin akan ada rayuan, ia belum keputusan muktamad, di pihak kita UMNO, bila ada mana-mana pilihan raya, kita duduk dan bincang secara bersama, atur strategi, itu belum dilakukan sebab belum ada keputusan muktamad.

"Kita beri autonomi kepada UMNO Sabah, UMNO Sabah diberikan keutamaan untuk kemukakan syor apa langkah patut kita lakukan. Kita beri ruang kepada UMNO Sabah," katanya pada sidang media di Menara Datuk Onn, hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, beliau akan bertemu pucuk pimpinan UMNO Sabah pada hujung minggu ini bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Sudah tentu kerjasama UMNO dan Pas akan menjadi keutamaan, namun itu belum dilakukan, saya akan turun ke Sabah hujung minggu ini, pertemuan bersama UMNO Sabah pada 25 Ogos, berdasarkan arahan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid semalam untuk bertemu pimpinan UMNO Sabah.

"Pada 26 Ogos saya akan bertemu UMNO Kimanis, untuk buat tinjauan awal. Kalau betul berlaku PRK, Presiden UMNO dan Presiden Pas akan duduk bersama membincangkan gerak kerja PRK ini," tambah Annuar.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Kimanis selepas urusan mahkamah selesai

Artikel Berkaitan:

16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya hari ini memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim Lee Heng Cheong berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Semalam, Peguam Anifah, Tengku Fuad Ahmad menunggu SPR sama ada turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Anifah di Parlimen Kimanis pada PRU14.

Tengku Fuad Ahmad berkata, pihaknya sudah bersedia memfailkan notis rayuan terhadap keputusan berkenaan, namun mahu menunggu sehingga SPR menyatakan keputusan sama ada turut memfailkan rayuan atau sebaliknya.