Cheng Hoe panggil 9 muka baharu untuk latihan pusat

No Image Caption
A
A
A

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, menyenaraikan sembilan muka baharu untuk sesi latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, Selangor, bermula, Ahad ini.

FAM menyenaraikan 27 pemain bagi sesi latihan pusat bagi menghadapi perlawanan persahabatan berdepan Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 30 Ogos ini serta persiapan menghadapi Indonesia pada perlawanan sulung pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Jakarta, 5 September ini.

Sembilan pemain baharu adalah penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Jothy dan tonggak pertahanan Selangor, Muhammad Syahmi Safari yang sebelum ini terpaksa diketepikan daripada panggilan skuad kebangsaan pada Jun lalu kerana kecederaan.

FAM, dalam kenyataan hari ini, berkata turut dipanggil adalah tiga pemain Perak iaitu Brendan Gan, J. Partiban dan Nazirul Naim Che Hashim serta dua pemain Felda United iaitu Muhammad Hadin Azman dan Muhammad Danial Amier Norhisham.

Turut disenaraikan ialah pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri dan pemain PKNS FC, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew.

Muka baharu tersebut adalah sebagai pengganti kepada lima pemain daripada skuad 23-pemain yang menewaskan Timor Leste menerusi agregat 12-2 pada aksi timbal balik pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.

Lima pemain yang digugurkan tersebut adalah Muhammad Syazwan Andik Mohd

Ishak (JDT), Faisal Abdul Halim (Pahang), Mohd Syazwan Zainon (Selangor), D. Kenny Pallraj (Perak) dan penjaga gol PKNS FC, Zarif Irfan Hashimuddin.

Artikel Berkaitan:

FAM turut memaklumkan lima pemain lagi iaitu penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid, Amirul Azhan Aznan (Perak), Rawilson Batuil dan Azzizan Nordin (Sabah) serta Muhammad Syazwan Andik diletakkan dalam senarai bersedia jika mana-mana pemain dalam senarai 27 pemain yang dipanggil itu mengalami kecederaan.

Selepas menentang Indonesia, skuad Harimau Malaya akan berdepan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kedua pusingan kelayakan Kumpulan G di laman sendiri pada 10 Sept ini.

Senarai 27 Pelatih Skuad Harimau Malaya

Penjaga Gol:

Mohd Farizal Marlias (JDT), Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak), Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah)

Pemain Pertahanan:

Adam Nor Azlin dan La'vere Corbin-Ong (JDT), Shahrul Mohd Saad; Nazirul Naim Che Hashim (Perak), Matthew Davies (Pahang), Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Dominic Tan Jun Jin (PDRM FC)

Pemain Tengah:

Mohamed Syamer Kutty Abba (JDT), Brendan Gan (Perak), Muhamad Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Mohd Faiz Mohd Nasir (Selangor), Muhammad Akram Mahinan (PKNS FC), Muhamad Danial Amier Norhisham (Felda United)

Pemain Sayap:

Muhammad Safawi Rasid; Muhammad Akhyar Abdul Rashid (JDT), J. Partiban (Perak), Mohamadou Sumareh (Pahang), Muhammad Hadin Azman (Felda United)

Penyerang:

Muhammad Syafiq Ahmad; Ahmad Hazwan Bakri (JDT), Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak), Norshahrul Idlan Talaha (Pahang), Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (PKNS FC). - Bernama