Kerajaan PH tidak sama dengan BN: Dr Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa ke-62 hari ini.- Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa ke-62 hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menepis dakwaan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sama seperti Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Sebaliknya, kata beliau, PH amat berbeza dengan BN termasuk tidak melakukan kesalahan-kesalahan dibuat kerajaan terdahulu.

"Ada artikel akademik mengatakan PH tiada perbezaan dengan Kerajaan BN. Adakah benar? Adakah kami meminjam RM42 bilion? Adakah kami mempunyai skandal sama seperti 1MDB?

"Adakah saya mencuri wang? Adakah saya merasuah? Buktikan jika saya merasuah orang dan kamu boleh bawa saya ke mahkamah.

"Hanya orang buta, pekak dan bodoh akan mengatakan bahawa tidak ada yang berbeza," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pembukaan Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa ke-62 (ISI WSC) 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurut Dr Mahathir lagi, kerajaan PH juga telah melaksanakan pelbagai perkara yang sebelum ini dihalang oleh BN.

“Kami akan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri selama dua penggal. Adakah Najib (bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) berbuat begitu?

Artikel Berkaitan:

"Kami akan membahaskan 1MDB, adakah Najib membenarkan perbahasan 1MDB atau lain-lain lagi? Tidak ada.

"Orang tidak menghargai perkara baik yang mereka perolehi dan mereka hanya melihat perkara buruk kerana mereka mahu menjatuhkan kerajaan ini," katanya.