Dr Asri cadang Kula Segaran, Zakir Naik berdialog

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
A
A

KANGAR - Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran disaran mengadakan dialog secara terbuka dengan penceramah, Dr Zakir Naik dan menyerahkan kepada rakyat untuk menilai dan membuat keputusan berhubung status pendakwah itu.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin membuat cadangan itu agar kedua-dua pihak dapat memberikan hujah masing-masing secara adil.

Menurutnya, pendekatan itu juga bertepatan dengan suasana Malaysia baharu yang diperjuangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya cadangkan Kula Segaran berdialog dan kemukakan bukti-bukti sekiranya beliau seorang ahli politik yang matang dan yakin Zakir telah memainkan isu perkauman,” katanya selepas majlis penutup Malaysia Reverts Camp, hari ini.

Dr Mohd Asri berkata, sekiranya terbukti Zakir memainkan isu perkauman di negara ini beliau sendiri akan meminta penceramah itu meninggalkan negara ini.

“Jika Kula Segaran dapat buktikan dengan hujah sehingga Zakir tidak dapat menjawab mengenai apa yang dia dakwa mengenai isu perkauman itu, saya sendiri akan menjadi orang pertama suruh Zakir keluar dari negara ini,” katanya.

Semalam, Naib Presiden DAP itu menegaskan tidak akan memohon maaf kepada Zakir susulan kenyataannya yang menggesa tindakan diambil terhadap pendakwah dari India itu.

Kula Segaran dilaporkan berkata, dakwaan Zakir terhadap masyarakat India dan Cina di negara ini jelas menggambarkan penceramah itu mempunyai hasrat mewujudkan perpecahan kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Jumpa kamu di mahkamah, Kula Segaran beritahu Zakir Naik

Manakala Zakir pula menuntut Kula Segaran meminta maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam atas kenyataan yang didakwa memfitnahnya.

Sekiranya gagal, tindakan saman akan diambil terhadap Ahli Parlimen Ipoh Barat itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Zakir Naik hantar surat tuntut Kula Segaran minta maaf

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, beliau antara individu yang menyokong kuat idea Malaysia baharu kerajaan PH, namun kecewa apabila gagal diterjemahkan dengan baik.

“Rakyat Malaysia tahu saya antara yang menyokong idea Malaysia baharu, namun saya bukan mengharapkan Malaysia baharu yang seperti ini, iaitu mencari permusuhan antara kaum,” katanya.

Katanya, Malaysia baharu seharusnya lebih matang mendepani masalah berbangkit termasuk mengadakan perdebatan secara bersemuka.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia