Hantar pulang Zakir Naik: PKR nyata pendirian Rabu ini, kata Anwar

Anwar (dua dari kiri) ketika merasmikan Konvensyen Motivator Profesional hari ini.
Anwar (dua dari kiri) ketika merasmikan Konvensyen Motivator Profesional hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menyatakan pendirian parti itu berhubung isu desakan supaya pendakwah bebas, Dr Zakir Naik dihantar pulang ke negara asalnya selepas mesyuarat Biro Politik pada Rabu ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan mengenai perkara itu akan diputuskan Rabu ini selepas mendengar pandangan semua pimpinan PKR.

Katanya, beliau meminta tempoh dua hingga tiga hari sebelum mengadakan pertemuan dengan kepimpinan parti itu berikutan baru saja pulang daripada mengerjakan ibadah haji.

Katanya, sepanjang di Tanah Suci, beliau menumpukan perhatian pada ibadah dan tidak mengikuti semua perbincangan mengenai isu berkenaan.

Turut akan dibincangkan pada mesyuarat itu isu pengajaran tulisan jawi di sekolah dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

"Saya minta dua tiga hari (pendirian PKR) kerana mahu mengadakan pertemuan dengan pimpinan Keadilan. Saya tidak mengikuti semua isu terbabit kerana baru pulang dari mengerjakan haji.

"Saya ada pandangan sendiri tetapi saya merasakan saya baru balik dan pimpinan merasakan mereka nak beri hujah mereka kerana mengikutinya lebih dekat.

"Ketika haji dan ziarah saya tidak ikuti perbincangan, saya hanya tumpukan soal ibadat jadi oleh yang demikian saya harus berikan ruang kepada pimpinan untuk berikan pandangan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Motivator Profesional, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, perlu ada keperluan untuk perbincangan sebelum menyatakan sebarang pendirian.

"Mesej saya jelas, anda perlu jelas dengan prinsip anda bahawa negara ini mempunyai sejarah, pemerintahan Melayu dan juga berbilang kaum dan agama dengan Islam sebagai agama Persekutuan.

"Kita seharusnya berpegang kepada prinsip itu dan saya tidak percaya kita harus mempunyai sentimen yang bersifat prejudis perkauman dan keagamaan.

"Saya tidak percaya Islam mempromosikan tidak bertoleransi dan ketidakadilan. Pendirian Islam sangat jelas atas prinsip keadilan dan toleransi dan saya berpandukan kepada itu," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan mengadakan pertemuan dengan Zakir untuk mendapatkan penjelasannya, Anwar berkata, ia tidak perlu.

Sebaliknya katanya, beliau akan membaca semua penjelasan pendakwah itu selain merujuk kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum mesyuarat Rabu ini.