UMNO, Pas tidak akan balas dendam terhadap PH

Ahmad Zahid sedang berucap di Ceramah Penyatuan Ummah di Balik Pulau malam tadi.
Ahmad Zahid sedang berucap di Ceramah Penyatuan Ummah di Balik Pulau malam tadi.
A
A
A

BALIK PULAU - UMNO dan Pas tidak akan membalas dendam terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebaliknya menyerahkannya kepada rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya yakin bahawa rakyat sendiri akan menolak PH tanpa perlu pembangkang menjatuhkannya.

Menurutnya, perkara itu akan berlaku sendiri tanpa tindakan dari pembangkang berikutan semua lapisan rakyat telah menolak pentadbiran kerajaan baharu.

"Kita (UMNO dan Pas) tidak perlu mengambil apa-apa tindakan kerana rakyat akan menolak PH. Tunggu hingga rakyat menolak mereka. Kita tidak akan membalas dendam, tetapi kita akan tunggu.

"Kita tahu ia akan berlaku sendiri tanpa kita memaksanya. Ini kerana bukan orang Melayu sahaja yang menolak pentadbiran sekarang, malah orang Cina, India dan Kadazan turut kecewa dengan PH,” katanya ketika berucap di Ceramah Penyatuan Ummah, di sini malam tadi.

Tambahnya, semua ahli UMNO dan Pas perlu mengambil peranan masing-masing dalam menguatkan bangsa, agama dan negara.

"Dalam perjuangan, kita tidak bolah biarkan hanya presiden sahaja (UMNO dan Pas) untuk melakarkan penyatuan ummah, ahli pun memainkan peranan. Dalam perjuangan ini adalah satu perjuangan pengorbanan.

"Kita ada peranan masing-masing demi ummah dan negara seluruhnya. Selain itu, bagi menjamin perpaduan orang Melayu dan Islam di bawah kerjasama baru antara UMNO dan Pas. Kita sama sekali tidak akan bekerja dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan DAP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid berkata, gabungan UMNO dan Pas tidak akan menerima konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan DAP.

"Dengan agendanya, DAP melaksanakan Malaysian Malaysia dan ini yang kita tidak boleh terima kerana perjuangan mereka menolak keunggulan bangsa, menghakis hak dan keistimewaan orang Melayu yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"UMNO dan Pas mempunyai persefahaman politik longgar sebelum PRU yang lalu. Bagaimanapun, ia menjadikannya satu kerjasama rasmi dalam beberapa bulan lalu bagi menyatukan orang Melayu dan Islam," katanya.

Jelasnya, piagam perpaduan ummah antara UMNO dan Pas tidak didasari dengan matlamat dan kehendak politik semata-mata sebaliknya mempunyai matlamat lebih besar iaitu kesatuan orang Melayu dan umat Islam.

"Piagam ini tidak menyentuh mengenai pembahagian kerusi antara kedua-dua parti meskipun UMNO dan Pas secara dasarnya bersetuju tidak akan bertanding melawan satu sama lain dalam PRU15 nanti. Piagam adalah hanya dokumen atau perjanjian di atas kertas antara UMNO dan Pas.

"Apa yang lebih penting dalam kerjasama antara UMNO dan Pas adalah keikhlasan, kejujuran dan kesungguhan dalam perjuangan membela orang Melayu dan umat Islam.

"Di Pulau Pinang kerjasama ini kita mulakan di Balik Pulau untuk kita pastikan orang Melayu dan umat Islam di sini tidak ditekan serta diabaikan dan dalam masa sama kita tidak mengetepikan kaum-kaum lain," katanya.