'Saya tak mampu nak jawab soalan adik-adik'

No Image Caption
A
A
A

GUA MUSANG - "Lepas ni, sapa nak bagi duit adik pergi sekolah," luah Nur Damia Sofea Che Azmi, 7, anak bongsu pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Gua Musang - Kuala Lipis berhampiran Kampung Lepan Jaya, kelmarin.

Kemalangan yang berlaku jam 4.10 pagi itu menyebabkan Che Azmi Che Hamzah, 48 dan Nor Hayati Mohamed, 43, maut selepas terbabas dan merempuh van yang dipandu, Zulfaizan Muhammad, 43, yang turut maut dalam insiden berkenaan.

Pasangan itu meninggalkan lima anak, Mohamad Izat Danial, 23, Mohamad Syakir Aiman,18, Mohamad Faris Faisal,15, Mohd Afiz Zulhilmi, 11 dan Nur Damia.

Mohamad Izat berkata, adik bongsunya masih bertanya tentang ummi ketika dia dan ibu saudara bergilir-gilir menjaganya di wad Hospital Kuala Krai meskipun dia tahu ibunya itu sudah tiada.

"Semalam, adik tanya, mana ummi, tak datang tengok adik pun. Kami beritahu dia, 'ummi dan abah dah tak ada'. Dia menangis dan tanya lagi, lepas ni, sapa nak bagi duit adik gi sekolah? Bila dengar dia cakap macam tu, saya sebak sangat.

Nur Damia masih bertanya mengenai umminya walaupun sudah tahu insiden yang meragut nyawa ibu bapanya, kelmarin.
Nur Damia masih bertanya mengenai umminya walaupun sudah tahu insiden yang meragut nyawa ibu bapanya, kelmarin.

"Syakir dan Faris sudah faham situasi kami cuma adik terlalu kecil untuk memahami segalanya. Setiap kali masuk waktu solat, dia mesti tanya pasal ummi sebab sebelum ini mereka solat berjemaah. Adik dilatih solat sejak usia 5 tahun lagi, dia minta nak solat berdiri, nak hantar doa kepada ummi dan abah," katanya.

Tambah Izat yang kini melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, biarpun dugaan yang terpaksa ditempuhinya itu amat perit, namun dia perlu kuat demi adik-adik yang masih kecil.

Artikel Berkaitan:

"ALLAH SWT sahaja tahu perasaan saya ketika ini. Kehilangan kedua-duanya dalam sekelip mata. Saya hanya jumpa ummi dan abah pada Aidilfitri lepas. Raya Aidiladha saya tak balik sebab cuti sehari sahaja.


Foto kenangan mereka sekeluarga ketika dirakam pada Aidilfitri lalu.
Foto kenangan mereka sekeluarga ketika dirakam pada Aidilfitri lalu.

"Paling saya sebak bila adik-adik tanya soalan yang tak mampu saya jawab termasuk masa depan mereka, kehidupan selepas ini tanpa ummi dan abah. Insya-ALLAH, saya akan jaga adik-adik sebaik mungkin. Cuma selepas ini, adik-adik akan dijaga ibu saudara kerana saya perlu teruskan pelajaran," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga maut tragedi berdarah di Gua Musang