Tiga maut tragedi berdarah di Gua Musang

Bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit. (Gambar kecil, Che Azmi dan isterinya Nor Hayati Mohamed meninggal dunia dalam kemalangan awal pagi tadi.)
A
A

GUA MUSANG - Sepasang suami isteri dan seorang pemandu van maut dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Gua Musang - Kuala Lipis berhampiran Kampung Lepan Jaya awal pagi tadi.

Mangsa, Che Azmi Hamzah, 48, dan isteri, Nor Hayati Mohamed, 43, meninggal dunia apabila kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Avanza yang dinaiki terbabas dan merempuh sebuah van di laluan bertentangan.

Menurut adik mangsa, Azwan Hamzah, 30, mereka dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru melawat anak saudara yang meninggal dunia.

Katanya, mereka bergerak bersama dengan dua buah kenderaan dan arwah dilihat tergesa-gesa untuk pulang ke Gua Musang.

"Kami bertolak dari JB (Johor Bahru) selepas Asar dan tiba di Kuala Lipis pada jam 2 pagi. Kami berehat sementara di stesen minyak dan arwah mengejutkan saya untuk memulakan perjalanan pada jam 3.30 pagi.

"Pasangan itu turut membawa tiga anaknya bersama dan kereta saya memuatkan ibu dan keluarga. Sepanjang perjalanan, saya acap kali tengok dia terkeluar dari garisan jalan menyebabkan saya sering memberikan isyarat lampu tinggi.

"Ketika kejadian, arwah hanya menyebut, 'Wea, anak aku...' berkali-kali sehingga menghembuskan nafas terakhir selepas azan Subuh di Hospital Gua Musang (HGM) manakala arwah kakak meninggal di tempat kejadian," katanya.

Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan.
Keadaan kenderaan yang terlibat kemalangan.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga, di sini selepas proses bedah siasat selesai.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.10 pagi itu melibatkan dua buah kenderaan dengan tiga kematian.

Katanya, van berkenaan membawa 10 penumpang, pemandunya disahkan meninggal dunia.

"Tiga anak pasangan arwah suami isteri itu turut parah dan dikejarkan ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan susulan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, insiden ini melibatkan 15 mangsa yang di mana dua daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seramai 13 mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan orang awam manakala dua mangsa yang maut dikeluarkan anggota bomba," katanya.