Diserang polis Israel gara-gara kibar bendera Palestin

Cassif (kiri) menyertai protes membantah kehadiran pendatang Yahudi di Baitulmaqdis pada Jumaat lalu.
Cassif (kiri) menyertai protes membantah kehadiran pendatang Yahudi di Baitulmaqdis pada Jumaat lalu.
A
A
A

BAITULMAQDIS - Gara-gara mengibarkan bendera Palestin, seorang ahli Parlimen Israel diserang polis ketika demonstrasi di Baitulmaqdis.

Akhbar Haaretz melaporkan pihak berkuasa rejim Zionis bertindak menyerang Ofer Cassif ketika beliau menyertai protes membantah kehadiran pendatang Yahudi di timur kawasan kejiranan Sheikh Jarrah pada Jumaat lalu.

Menurut Cassif, beliau bersama pembantunya diserang selepas mereka membantah tindakan pihak berkuasa yang merampas bendera Palestin.

Rakaman video menunjukkan polis Israel bergelut dengan mereka dan pembantunya digari secara kasar hingga menyebabkan dia meraung kesakitan.

Anggota keselamatan itu turut meminta Cassif menunjukkan kad identiti untuk membuktikan dirinya adalah ahli Knesset, namun beliau tidak diberi peluang untuk berbuat demikian.

"Mereka terus pukul pembantu saya dan menolak saya. Protes itu diadakan secara senyap dan aman sebelum polis meluru ke arah kami secara tiba-tiba untuk merampas bendera Palestin," ujarnya.

Pembantunya dilaporkan dipindahkan ke hospital dalam keadaan tangan dan kakinya digari selepas mengadu tidak sihat kerana penyakit diabetes yang dihidapinya.

Difahamkan, polis Israel sering merampas bendera Palestin yang dibawa ketika protes atas alasan ia 'mengganggu keamanan'.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Cassif telah beberapa kali menjadi sasaran pihak berkuasa Israel.

Pada Mac lalu, beliau dilarang bertanding dalam Pilihan Raya Parlimen oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat kerana mengeluarkan kenyataan provokasi terhadap ideologi Zionis dan anti-Semitisme.

Beliau juga dengan lantang menggelar Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sebagai 'pembunuh zalim' dan Ketua Turus Israel, Aviv Kochavi sebagai 'penjenayah perang'. - Agensi