Projek Lynas: Akibatnya lebih dahsyat daripada pencemaran Sungai Kim Kim

Shariffa Sabrina
Shariffa Sabrina
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) menyeru kerajaan supaya menyelesaikan isu alam sekitar dengan tidak memperbaharui lesen Lynas Corporation Ltd. (Lynas) selepas tamat tempoh enam bulan ini.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kerajaan perlu memberhentikan segala aktiviti yang dijalankan sebelum bencana alam sekitar melanda.

Menurutnya, sekiranya sesuatu yang tidak dijangka berlaku akibat projek Lynas, sudah pasti satu malapetaka yang lebih serius daripada bencana seperti Sungai Kim Kim akan menimpa.

"Kesan negatifnya akan lebih ketara dan mungkin tidak boleh diselesaikan walaupun dalam jangka masa panjang.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan perbaharui lesen Lynas: Peka

Malaysia tetap terpaksa terima ‘najis’ toksik Lynas: Fuziah

"Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya memastikan bahawa perkara ini tidak berlaku kepada negara kita.

"Desakan kerajaan bahawa Lynas mesti memindahkan proses 'cracking and leaching' yang sedang dijalankan di kilangnya di Gebeng, Kuantan, ke luar negara menunjukkan betapa teruknya kesan dari aktiviti di kilang Lynas ini terhadap alam sekitar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan kerajaan Persekutuan yang menghadkan lesen Lynas kepada tempoh enam bulan dan mengenakan syarat-syarat ke atasnya sebagai langkah permulaan untuk menangani masalah alam sekitar yang lebih serius.

Katanya lagi, Peka memandang perkembangan ini sebagai bukti bahawa perjuangan kumpulan alam sekitar dan penentang yang lain terhadap Lynas sememangnya wajar.

"Lynas telah menggadaikan alam sekitar Malaysia dan harus menghentikan keseluruhan operasinya.

"Walaupun penyelesaian untuk masalah jangka panjang ini akan mengambil masa, persoalan dan keraguan tentang Lynas masih tak terjawab," katanya.

Beliau turut mempersoalkan apa yang akan berlaku selepas tempoh enam bulan dan bagaimanakah Lynas akan dipantau untuk memastikan bahawa semua syarat dipatuhi dan apakah penalti yang akan dikenakan sekiranya Lynas gagal mematuhi syarat dalam jangka masa yang ditetapkan.

"Hakikatnya, Lynas tetap dengan pendiriannya bahawa operasinya adalah selamat dan tidak membahayakan alam sekitar," katanya.