Sembilan buah rumah rosak dipukul ribut

Anggota APM mengambil maklumat mangsa yang mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda di daerah Bera di sini semalam.
A
A

BERA - Sebanyak sembilan buah rumah rosak selepas ribut membadai daerah ini, petang semalam.

Sembilan rumah di Taman Kerayong Makmur, Taman Kerayong Indah dan Taman Seri Bera mengalami kerosakan kecil dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah, Kapten (PA) Ahmad Azmi Nafiah berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan di samping tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka akibat bencana itu

“Pemeriksaan lanjut sudah dijalankan di semua rumah yang terbabit dan kita juga sudah menasihatkan pemiliknya membuat laporan polis bagi memudahkan urusan lain selepas ini.

“Selain pegawai dan anggota APM, pemantauan keselamatan lain turut membabitkan Telekom Malaysia (TM), kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bera masih dalam proses mengenal pasti jumlah anggaran kerosakan yang terlibat.

"Anggaran kerosakan yang berlaku kita masih lagi menyiasat untuk mengenal pasti apakah bentuk bantuan yang boleh kita berikan pada mereka," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia