India longgar sekatan di Kashmir

Talian komunikasi dipulihkan secara berperingkat di Srinagar selepas ia diputuskan selama hampir dua minggu.
Talian komunikasi dipulihkan secara berperingkat di Srinagar selepas ia diputuskan selama hampir dua minggu.
A
A
A

SRINAGAR - Kira-kira 17 daripada 100 sistem telekomunikasi telah dipulihkan semalam selepas hampir dua minggu sekatan tidak wajar dilaksanakan India di Lembah Kashmir yang bergolak.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Jammu dan Kashmir (J&K), Dilbag Singh selepas talian telekomunikasi dan perkhidmatan internet diputuskan di wilayah didiami majoriti orang Islam itu.

“Perkhidmatan internet mudah alih kembali beroperasi di lima kawasan di Jammu. Kabel rangkaian juga dibuka di beberapa bahagian di daerah di Kashmir,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sambutan Aidiladha Kashmir suram

Lebih 20 penduduk di Srinagar bagaimanapun mendakwa kebanyakan talian komunikasi masih tidak berfungsi.

Kelmarin, Ketua Setiausaha Negeri, BVR Subrahmanyam berkata, pemulihan semula talian telefon itu akan dibuat secara berperingkat, namun ancaman pengganas masih tinggi dan dikhuatiri mereka mengambil kesempatan untuk merancang serangan ganas.

Jelasnya lagi, pejabat kerajaan sudah dibuka semula manakala pembukaan semula sekolah adalah pada Isnin ini.

Dalam perkembangan berkaitan, satu mesyuarat tertutup Majlis Keselamatan PBB (UNSC) diadakan atas permintaan China dan Pakistan selepas New Delhi memansuhkan Artikel 370 berkaitan status khas Kashmir menolak bahawa J&K adalah isu domestik India.

Artikel Berkaitan:

“Suara penduduk Kashmir akhirnya didengar negara antarabangsa. Mesyuarat ini telah mengesahkan kesahihan resolusi UNSC mengenai status J&K,” kata Wakil Tetap Pakistan di PBB, Maleeha Lodhi.

Menurutnya, ia adalah langkah pertama diambil Islamabad bagi pihak penduduk J&K dan tindakan lain bakal menyusul.

Selain itu, China turut mencadangkan majlis terbabit mengeluarkan kenyataan terhadap status quo di J&K, namun ditolak Amerika Syarikat, Perancis dan Jerman.

Difahamkan, kali terakhir UNSC membincangkan isu tersebut secara rasmi adalah pada 1971 selepas ia dibahagikan antara India dan Pakistan pada 1947. - Agensi