Bersatu tentukan masa depan Malaysia

Muhyiddin Yassin - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Muhyiddin Yassin - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perhimpunan agung tahunan kedua Bersatu yang bermula hari ini akan memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan negara dan membentuk masa depan Malaysia baharu yang lebih gemilang.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata selepas menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH), parti itu perlu memainkan peranan dalam mendukung hasrat kerajaan melaksanakan semua agenda, manifesto, cadangan perubahan dan pentadbiran termasuk di peringkat Parlimen, menggubal undang-undang baharu dan memansuhkan undang-undang lama.

"Kita kini adalah gerakan politik baharu, haluan baharu. Kita bentuk masa depan negara baharu, ini yang kita tumpukan. Apabila hala tuju sebegitu rupa dan jelas, maka rakyat tahu kita boleh buat (memerintah),” katanya dalam temu bual dengan beberapa organisasi media baru-baru ini.

Temu bual itu diadakan bersempena perhimpunan agung kali kedua parti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula malam ini hingga Ahad.

Kira-kira 3,000 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan agung tiga hari itu melibatkan 135 bahagian di seluruh negara, termasuk 98 bahagian sayap Srikandi dan 115 sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Perhimpunan itu bermula malam ini dengan perasmian perhimpunan sayap Srikandi dan Armada yang akan disempurnakan oleh Muhyiddin, manakala esok akan berlangsung perhimpunan kedua-dua sayap. Malam esok, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad akan merasmikan perhimpunan agung itu, dengan perhimpunan berlangsung pada Ahad.

Muhyiddin berkata paling utama adalah bagaimana parti itu boleh membantu dalam menangani isu kos sara hidup rakyat.

“Kita peka hal itu, kerana itu kita ingatkan perwakilan sewaktu perhimpunan agung nanti bahawa mereka ini mesti mewakili rakyat dan kena bantu rakyat. Jadi isu kenaikan harga barang, kurangnya bantuan subsidi, penurunan harga komoditi getah, masalah peneroka kerana tiada bantuan Felda dan isu-isu dihadapi rakyat biasa perlu diperjuangkan agar kepimpinan boleh membawa mesej tersebut ke peringkat pentadbiran kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya Bersatu juga perlu memainkan peranan dengan berani membuat kenyataan dan pandangan terbuka jika ada polisi kerajaan yang dilihat tidak tepat atau buat ‘pusingan-U’ kerana perubahan yang berlaku ketika ini memerlukan sokongan dan masa untuk dijayakan sepenuhnya.

Beliau mengakui terdapat beberapa perkara yang tidak sempurna sepanjang tujuh bulan pentadbiran PH khasnya berkaitan kehendak rakyat namun percaya, jika diberikan masa secukupnya dan kerjasama semua pihak termasuk penjawat awam, segala perancangan dapat dilakukan sebaik-baiknya.

“Banyak benda. Skopnya begitu luas. Bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, saya telah lama berkhidmat dalam kerajaan. Kita sentiasa berfikir kita mahu berubah dari cari lama, yang kita rasa tidak baik. Untuk meletakkannya kembali ke persepktif baharu, kita mesti memastikan penjawat awam memahami apa yang kita lakukan.

“Anda tidak boleh harapkan dalam tempoh tujuh bulan, untuk melakukan begitu banyak perkara, tetapi ia boleh (dijayakan). Anda buat apa yang boleh anda buat dan yang mampu anda lakukan. Terdapat batasan. Tetapi dalam tempoh masa tertentu, saya tidak kata setahun atau beberapa tahun, kami diberi tempoh lima tahun, sudah pasti banyak perkara dapat diperbaiki,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata parti itu lebih terbuka dan sesiapa sahaja yang berminat boleh menyertai mereka dengan syarat, perlembagaan parti diutamakan dan sanggup berjuang demi negara.

Jelasnya, Bersatu juga mengamalkan sikap telus dalam menentang musuh negara, khasnya rasuah hingga ke hujung pangkal.

Sambil menafikan cakap-cakap perjuangan parti itu mirip kepada perjuangan Umno kerana Bersatu diterajui ramai pemimpin daripada parti berkenaan, Muhyiddin berkata rakyat pasti dapat menilai sendiri bahawa Bersatu dan komponen lain dalam PH sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat daripada kehendak parti.

Ditanya mengenai stigma masyarakat kononnya bekas pemimpin Umno cuba menyelamatkan diri daripada kes rasuah dengan menyertai Bersatu, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Bersatu bukanlah rumah perlindungan dan sesiapa yang didapati bersalah, tidak akan selamat.

Jelasnya, ini kerana, parti tersebut tidak akan sesekali melindungi mana-mana anggota atau pemimpin baik dari dalam atau luar parti sendiri.

“Ini bukan (tempat) pelarian, tempat mereka untuk bernaung atau berlindung kalau mereka sudah tahu lakukan kesalahan. Kami sudah jelaskan, kalau mereka ingin masuk, kena isytihar diri keluar dari parti asal dan jadi anggota bebas, kemudian menjalani saringan pihak berkuasa dan juga saringan politik.

“Jika tidak sesuai dengan perjuangan, kita ada hak untuk tolak. Sebab itu kita buat bersungguh-sungguh (dalam penerimaan). Jika mereka sudah isytihar sekalipun, tidak semestinya diterima masuk. Jika terpalit sekalipun, kita rasa tidak payahlah (setuju dengan permohonan masuk), baik kita cari yang tiada kesalahan,” katanya.

Muhyiddin menarik perhatian, isu lompat parti dan penerimaan bekas pemimpin pembangkang ini harus dilihat daripada konteks yang besar kerana kelak ia akan mewujudkan persaingan positif demi menambah kekuatan PH. - Bernama