SKMM keluarkan 107 kompaun kepada telcos

No Image Caption
A
A
A

CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 107 kompaun berjumlah RM3.83 juta kepada syarikat telekomunikasi (telcos) setakat 31 Julai 2019.

SKMM dalam kenyataan hari ini berkata, kompaun itu melibatkan pelbagai kesalahan seperti gagal mematuhi Standard Mandatori dan Kod Pengguna Am dan Garis Panduan Pendaftaran Pengguna Akhir untuk Perkhidmatan Selular Am Prabayar.

"Jumlah kompaun yang dikeluarkan adalah 20.4 peratus lebih tinggi daripada jumlah nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan kepada telcos sepanjang tahun 2018, iaitu RM3.18 juta.

"Setakat 31 Mac lalu, sebanyak 63 kompaun bernilai RM2.32 juta dikeluarkan, manakala 44 kompaun bernilai RM1.51 juta dikeluarkan antara April dan 31 Julai 2019,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, daripada 44 kompaun itu, YTL Communications Sdn Bhd menerima jumlah kompaun tertinggi iaitu 15 kompaun bernilai RM750,000, diikuti Symphonet Sdn Bhd (15 kompaun bernilai RM150,000) dan Maxis Broadband Sdn Bhd (enam kompaun bernilai RM250,000).

"Digi Telecommunications Sdn Bhd dan Enabling Asia Tech Sdn Bhd dikenakan dua kompaun berjumlah RM200,000, manakala Celcom Axiata Berhad, Tune Talk Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad dan U Mobile Sdn Bhd masing-masing-masing satu kompaun dengan jumlah nilai RM160,000.

"Tindakan SKMM mengeluarkan kompaun kerana ketidakpatuhan terhadap telcos menunjukkan komitmen dan keseriusan suruhanjaya itu dalam menangani isu berkaitan kepentingan pengguna.

"Ia juga adalah usaha berterusan SKMM dalam memastikan telcos melaksanakan sistem penyampaian pelanggan yang cemerlang dan berkualiti di samping melindungi serta memperkukuhkan hak pengguna,” kata SKMM.

Artikel Berkaitan:

SKMM turut mengingatkan telcos supaya sentiasa mematuhi syarat pelesanan, Kod Pengguna Am dan instrumen undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - Bernama