Tragedi berkayak: Pencarian diperluas hingga ke Pulau Kapas

Anggota APMM melakukan pencarian peserta kayak lelaki yang masih hilang hingga ke perairan Pulau Kapas, Marang.
Anggota APMM melakukan pencarian peserta kayak lelaki yang masih hilang hingga ke perairan Pulau Kapas, Marang.
A
A
A

KEMAMAN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta kayak lelaki warga Singapura yang hilang sejak 8 Ogos lalu diperluas hari ini hingga ke Pulau Kapas, Marang meliputi kawasan seluas 460 batu nautika persegi.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, kawasan pencarian meliputi perairan Kuala Kemaman di Kemaman hingga selatan Pulau Kapas.

"Hari ini SAR diteruskan dari Merchang hingga ke selatan Pulau Kapas membabitkan lima buah bot iaitu dua milik APMM dan masing-masing satu daripada Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Kekuatan anggota juga meningkat kepada 58 pegawai dan anggota dari kesemua agensi terbabit berbanding 47 orang semalam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Rashidilhadi berkata, pihaknya turut mendapat bantuan nelayan Dungun dan Marang pada SAR yang memasuki hari ke-9 hari ini dan dimulakan pada jam 7 pagi tadi.

"Seramai 15 nelayan tempatan turun membantu usaha pencarian menggunakan enam buah bot milik mereka.

"Buat masa ini kita masih belum memperoleh petunjuk baru yang boleh dikaitkan dengan mangsa," katanya.

Sebelum ini mayat dipercayai seorang lagi peserta kayak, Tan Eng Soon, 62, yang hilang ketika berkayak di perairan Mersing, Johor ditemui nelayan tempatan dalam keadaan terapung kira-kira lapan batu nautika dari Kuala Dungun sekitar jam 6 petang semalam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mayat itu tidak diikat dan dibiarkan hanyut sebelum Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman menerima maklumat penemuan itu pada jam 12 tengah malam kelmarin.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi berkayak: Nelayan nampak mayat terapung

Eng Soon dan rakan wanita senegaranya, Puah Geok Tin, 57, dilaporkan hilang kira-kira jam 5.40 petang, 8 Ogos lalu ketika melakukan aktiviti berkayak di perairan Mersing, Johor.

Kedua-dua mangsa terpisah dengan 13 buah kayak rakan mereka ketika berada antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing ekoran laut bergelora dan hujan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua warga Singapura hilang di laut

Mayat Geok Tin ditemui terapung kira-kira 5.4 batu nautika dari Kuala Kemaman kira-kira jam 12.50 tengah hari Rabu lalu sebelum mayat mendiang dituntut keluarga untuk dibawa pulang ke negaranya jam 9 pagi semalam.