Yew Yin boleh dikenakan tindakan undang-undang

Nik Ahmad Kamal dan Syahredzan
Nik Ahmad Kamal dan Syahredzan
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas ahli perniagaan, Koon Yew Yin susulan kenyataan dikeluarkannya baru-baru ini yang memperlekeh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Peguam yang juga aktivis, Syahredzan Johan berkata, antara tindakan yang boleh diambil adalah di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan iaitu membuat kenyataan-kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.

Beliau berkata, bagaimanapun untuk membolehkan seseorang itu diambil tindakan mengikut undang-undang, terdapat prosedur yang perlu dilakukan oleh pihak yang kena tuduh.

"Dalam kes tersebut, oleh kerana perkara ini boleh menjurus kepada suatu kesalahan jenayah, maka pihak yang bertanggungjawab untuk menyiasat adalah polis.

"Difahamkan, telah banyak laporan polis dibuat terhadap beliau (Yew Yin). Jadi, saya percaya polis juga sudah membuka kertas siasatan terhadap ahli perniagaan itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya, beliau percaya, polis akan melakukan sebaiknya untuk menyiasat sama ada kesalahan telah dilakukan dan ini memang prosedur yang sedia ada mengikut undang-undang.

Sebelum ini, Yew Yin membuat kenyataan tidak bertanggungjawab menerusi laman blog kendaliannya ​​meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat pekerja yang tidak diperlukan dengan menjadikan anggota ​ATM sebagai contoh serta menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.

​Namun selepas mendapat kecaman netizen, Yew Yin menarik balik kenyataan tersebut dan ​memohon maaf kepada ATM yang masih berkhidmat serta sudah bersara.

Artikel Berkaitan:

​Sementara itu mengulas sama ada tindakan Yew Yin memohon maaf secara terbuka serta memadam kenyataan di laman blognya boleh dipertimbangkan dan tidak perlu diselesaikan dengan tindakan undang-undang, Syahredzan berkata, permohonan maaf dan pemadaman status ​tersebut tidak akan memberi apa-apa kesan ke atas kebersalahan seseorang s​u​spek atau tertuduh.

​"Cuma, sememangnya lebih baik sekiranya pihak-pihak​ terlibat​ dapat selesaikan tanpa perlu menggunakan undang-undang dan ​m​ahkamah​," katanya.

Semalam, Persatuan Veteran ATM (PVATM) Perak menegaskan pihaknya belum boleh menerima permohonan maaf dikemukakan Yew Yin dan ​mahu ahli perniagaan itu diberi hukuman melalui perundangan sedia ada.

Sementara itu, Profesor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang juga pemerhati politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, terdapat beberapa peruntukan atau tindakan undang-undang yang boleh digunakan oleh pendakwa raya dalam kes tersebut.

Menurutnya, antara peruntukan yang boleh digunakan adalah di bawah Akta Hasutan 1948, Akta fitnah 1957 serta Seksyen 499 Kanun Keseksaan atas niat untuk merosakkan reputasi atau pengetahuan munasabah bahawa kerosakan reputasi akan berlaku dengan kenyataan tersebut.

"Saya juga melihat dari sudut undang-undang sivil dan pada pandangan saya, ATM boleh membawa tindakan saman malu terhadap pembuat kenyataan. Cuma dalam tindakan sivil, perlu dibuktikan bahawa telah berlaku kerosakan reputasi terhadap ATM akibat dari kenyataan tersebut.... Saya melihat ia sebagai lebih rumit.

"Bagaimanapun, pendakwa raya boleh memilih undang-undang yang sesuai. Cuma Akta Fitnah 1957 dibaca bersama-sama dengan tindakan sivil dan ia tidak mewujudkan kesalahan khusus seperti dalam Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan," katanya.