Semua perlu akur keputusan sambung lesen Lynas

Gambar hiasan. Gambar kecil:Andansura Rabu
Gambar hiasan. Gambar kecil:Andansura Rabu
A
A
A

KUANTAN- Keputusan kerajaan memperbaharui lesen operasi syarikat memproses bahan nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) untuk tempoh enam bulan lagi dengan beberapa syarat ditetapkan diharap mampu menghentikan semua polemik berkaitan Lynas yang berlarutan sekian lama.

Ahli Dewan Undangan Negerui (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, keputusan kerajaan seperti diumumkan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) semalam itu perlu diterima semua pihak terutama bagi kelompok yang menentang Lynas

Beliau berpandangan segala syarat yang ditetapkan kepada pihak Lynas telah dirujuk dan mengambil kira pandangan serta nasihat pakar dalam bidang berkaitan.

“Agensi yang terlibat merupakan pihak yang bertanggungjawab di dalam mengendalikan perkara berkaitan radioaktif jadi saya harap keputusan ini dapat menghentikan suara-suara pihak yang tidak berpuas hati.

“Sudah tiba masanya semua pihak bergerak ke hadapan bersama menyelesaikan permasalahan ini demi kepentingan rakyat dan pada masa sama memastikan langkah diambil dapat mengelak sebarang kesan atau risiko kepada penduduk pada masa akan datang,” katanya di sini hari ini.

Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, beliau secara peribadinya mendapati syarat yang ditetapkan AELB itu sudah mengambil kira pelbagai pandangan dan ia satu langkah yang dilihat mampu membawa kesan besar khususnya dalam usaha menarik pelabur asing untuk melabur di negeri ini.

Katanya, semua pihak perlu menerima syarat itu dengan memastikan ia berjalan dengan baik dan tidak timbul lagi soal tidak puas hati.

“Isu ini perlu dilihat dalam skop yang luas bukan hanya dalam konteks politik semata-mata tetapi perlu mengambil kira kesan kepada ekonomi, pembangunan dan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

“Dalam syarat itu dinyatakan pihak Lynas kena tentukan tapak pelupusan kekal. Sebenarnya sudah lama syarat ini ditetapkan justeru kerajaan negeri juga perlu ambil peranan bersama," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu berbincang bagi memastikan semua peraturan, kaedah, kajian kesan alam sekitar dan sebagainya perlu dipatuhi dan dilaksanakan selain dipantau bagi mengelak sebarang perlanggaran.

“AELB sudah nyata dan tekankan berhubung aspek pemantauan dan semua fasiliti pelupusan tetap (PDF) perlu ikut standard antarabangsa jadi ia akan memberikan kelegaan kepada orang awam sekaligus menjernihkan persepsi negatif tentang Lynas sebelum ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Lesen Lynas diperbaharui dengan syarat

Tidak boleh halau Lynas, pelabur asing perhati: Dr Mahathir