Penghina ATM musuh negara: Menteri Pertahanan

Mohamad (dua dari kiri) ketika acara pelepasan kenderaan sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyifatkan mana-mana individu yang menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah musuh negara dan rakyat.

Beliau berkata, tindakan menghina ATM juga adalah perkara jijik dan tidak boleh diterima.

“Bagi saya sesiapa sahaja tidak kira daripada mana-mana kaum yang menghina ATM, dia adalah musuh negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Yew Yin tarik balik kenyataan, mohon maaf kepada tentera

“Boleh kritik, beri pandangan dan tunjuk ajar tapi jangan sesekali hina ATM,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Kementerian Pertahanan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung kenyataan ahli perniagaan, Koon Yew Yin yang menghina ATM hanya makan dan tidur sehingga menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak.

Mohamad berkata, isu penghinaan terhadap ATM tidak harus dilihat sebagai isu perkauman tetapi sebagai sudut keselamatan kerana membabitkan barisan hadapan pertahanan negara.

“Reaksi rakyat lebih dari sudut perkauman. Sebelum ini mantan Menteri Besar Sabah (Tan Sri Harris Salleh) juga pernah hina ATM dengan mengesyorkan anggota tentera jadi pengawal keselamatan dan amah tapi rakyat tak melenting.

"Tapi bila jutawan Tiong Hua hina, ramai pihak main peranan hentam. Saya lihat perkauman yang dimainkan. Mengapa?,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya menyerahkan isu penghinaan ATM kepada pihak polis memandangkan telah ada laporan yang dibuat meskipun permohonan dibuat pihak terbabit.

“Kita serahkan pada kebijaksanaan pihak polis untuk mengambil tindakan,” katanya.

Koon Yew Yin menerusi blog kendaliannya baru-baru ini menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan terlalu besar.

Beliau turut menulis bahawa anggota tentera hanya makan dan tidur dan majoriti mereka tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran selain mengesyorkan tentera menggantikan pekerja buruh.

Dalam pada itu, Mohamad dalam ucapannya turut menyentuh berhubung peruntukan pertahanan negara yang disifatkan masih sedikit berbanding negara-negara lain yang aman dan lebih kecil dari Malaysia.

“Negara-negara yang berada dalam kedudukan tinggi indeks negara bahagia, memberi perhatian tinggi terhadap pertahanan.

"Di Finland, negara nombor satu paling bahagia, mereka membelanjakan 1.4 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) atau AS$3.8 bilion untuk pertahanan pada 2018 sedangkan rakyat mereka hanya 5.5 juta orang.

“Norway dan Denmark yang berada pada kedudukan kedua dan ketiga bahagia dunia juga belanja 1.6 peratus dan 1.1 peratus KDNK dengan nilai AS$6.9 bilion dan AS$4.1 bilion untuk pertahanan 2018, sedangkan penduduk mereka lebih kecil dari Malaysia.

“Singapura, walaupun keluasan negara hanya 646 kilometer persegi. Mereka belanja 3.1 peratus KDNK atau AS$11.4 bilion untuk pertahanan 2018, jika dibandingkan dengan kita yang mempunyai 32.4 juta penduduk 130,000 anggota tentera, 329,000 kilometer persegi keluasan negara, dan 4,600 km panjang perairan, kita hanya belanja 0.9 peratus KDNK pada 2018,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia